KUALA LUMPUR – MIC hari ini mengadakan Perhimpunan Agung terakhir menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak lama lagi.

Perhimpunan Agung ke-71 itu dikatakan diadakan sebagai perhimpunan rahsia dan bukan bersifat terbuka, menurut akhbar Tamil tempatan.

Selepas ucapan dasar presiden menjelang perhimpunan kali ini majlis akan disusuli dengan debat mengenai pindaan pada Perlembagaan MIC sekitar jam 3.30 petang nanti.

Hanya para perwakilan terpilih sahaja dibenarkan mengambil bahagian dalam debat itu, lapor akhbar Malaysia Nanban hari ini.

Keputusan telah dibuat oleh parti selepas beberapa siri perbincangan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC mengenai cadangan pemilihan pengerusi MIC negeri menerusi pemilihan dan ketua bahagian menerusi pemilihan dengan melakukan pindaan pada perlembagaan.

Hanya selepas mendapat persetujuan perwakilan, ia perlu dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan untuk proses pengesahan sebelum dikuatkuasakan.

Difahamkan, proses kedua itulah ia akan dibincangkan dalam perhimpunan kali ini.

Pun begitu, proses itu dijangka menerima bantahan kuat daripada ketua-ketua bahagian yang ada ketika ini.

Mereka yang selama ini bergerak dengan kuasa itu dilihat tidak sanggup melepaskan hak itu.

Mantan Presiden MIC, Tun S. Samy Vellu melakukan perubahan pada perlembagaan parti sebelum ini iaitu memastikan pengerusi parti di setiap negeri dipilih menerusi proses pelantikan manakala ketua bahagian dipilih menerusi pelantikan presiden demi ‘keselesaan’ pemimpin parti.

Samy mendakwa perubahan itu dibawah mengikut jejak langkah yang dilakukan dalam UMNO yang merupakan ibu parti komponen BN.

Namun kini Subramaniam selaku presiden parti mahu hak dikembalikan kepada ahli akar umbi dan melakukan pindaan pada perlembagaan parti hari ini.

Alasannya beliau mahu memberi kebebasan bersuara kepada ahli dan perwakilan apabila peraturan sedia ada menafikan hak dan suara ahli akar umbi dalam parti.

Namun pindaan pada perlembagaan parti ditakuti oleh ketua-ketua bahagian yang bimbang segala keistimewaan yang dinikmatinya selama ini akan tergugat.

Maka dalam hal ini, semua ketua-ketua bahagian dijangka membantah untuk pemindaan itu diluluskan parti.

Seorang lagi bekas Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel juga pernah menegaskan mahu membawa pindaan pad perlembagaan parti melibatkan kedua-dua perkara spesifik itu.

Lebih kurang 4,000 perwakilan MIC dijangka akan menghadiri ke Perhimpunan Agung MIC ke71 kali ini. – MalaysiaGazette