Bibi Ramjani Ilias Khan menyerah borang menjadi ahli parti Putra Malaysia.

MASIH belum terlambat untuk saya ucapkan tahniah kepada Puan Bibi Ramjani Ilias Khan, satu-satunya perempuan yang berjaya menerajui persatuan bola sepak, iaitu Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

Dia yang tiba-tiba muncul, membuat kejutan kepada pasukan dan penyokong bola sepak Kelantan apabila tampil menyatakan hasrat hendak bertanding jawatan nombor satu KAFA.

Ramai tidak percaya Bibi boleh menang. Sebab pencabar yang dia cabar itu bukan calang-calang manusia. Tapi Bibi bertegas, nak bertanding juga.

Keputusan muktamad pertandingan itu Bibi dan rakitnya yang bukan dalam kalangan orang politik, menang besar. Lawannya, seorang lelaki bersama rakit politiknya, kalah.

Kenapa Bibi, muka baharu dalam arena sukan bola sepak Kelantan boleh menang? Sedangkan calon yang dicabarnya adalah orang lama dalam KAFA dan anak didik Tan Sri Annuar Musa lagi, boleh kalah?

Itu tandanya ahli-ahli kelab bola sepak jajahan yang mewakili rakyat Kelantan seluruhnya sudah muak dan cuak dengan orang-orang politik dalam KAFA.

Mereka memilih Bibi bersama rakit baharunya untuk menakhodai KAFA kerana mereka hendak menonton sukan bola sepak, bukan hendak melihat mainan politik kotor yang membosankan.

Memang menjadi tradisi persatuan bola sepak negeri diterajui orang politik. Mana-mana persatuan bola sepak negeri pun diletakkan bawah kerajaan negeri, tetapi itu bukan lesen untuk dipolitikkan atau menjadikan persatuan itu sebagai bahan berpolitik.

Saya memerhati secara rapat perkembangan yang berlaku dalam KAFA. Bukan kerana ia dipimpin oleh seorang perempuan yang cantik dan manis, tapi sebab saya dan KAFA sudah berkenalan sejak awal 1990-an lagi. Saya begitu dekat dengan KAFA.

Dengan pasukan bola sepak Kelantan juga saya mula mengenalinya ketika di bawah teraju Ringgit Kreatif milik Datuk Zaid Ibrahim dan bertukar tangan serta nama pula kepada pasukan JKR Kelantan yang di’presiden’kan Datuk Dr. Ibrahim Ali.

Selepas itu baharulah bekas Setiausaha Kerajaan Kelantan (SUK), Datuk Wan Hashim Wan Daud ambil alih KAFA dan mencipta nama dalam persada bola sepak negeri.

Sepanjang Wan Hashim mengepalai KAFA, ada seorang pemimpin politik dari Pas berkeinginan sungguh-sungguh nak ambil alih persatuan itu. Dari situlah berlakunya kempen mengempen sehingga jawatan presiden dicabar.

Orang politik itu kalah dua musim dengan Wan Hashim, walaupun ketika itu KAFA sarat dengan masalah kewangan. Tunggakan gaji pemain tidak berbayar. Nama Wan Hashim semakin terjejas, namun ketika sesi pertandingan, beliau kekal menang.

Maknanya, dari dulu lagi kelab bola sepak jajahan tidak suka KAFA diterajui orang politik. Mereka tidak mahu KAFA dipolitikkan. Mereka nak tengok permainan yang cantik dan bergaya serta pasukannya membawa pulang apa saja piala kejuaraan.

Biarlah permainan tidak setanding dengan pasukan bola sepak dunia pun. Bermain secara kampung pun tak apa, asalkan jangan dicampuradukkan dengan politik.

Sebab itu saya tidak terkejut sebaik dua hari Bibi pegang jawatan presiden KAFA, sudah ada komen negatif berhubung kekalahan The Red Warrior (TRW) dengan JDT pada malam Khamis lalu.

Dalam perlawanan itu, TRW kalah 3-0. Kekalahan itu memberi peluang kepada facebooker tegar kepimpinan KAFA sebelum ini untuk mengutuk, mencerca dan mengecam kepimpinan baharu.

Ada secara sinis memuatnaik status “Tahniah Presiden baru KAFA. Pandai betul main bola”.

Itu tak apa lagi, ia hanya ditulis oleh balaci kasta rendah. Ini yang saya agak terkejut dan kecewa apabila seorang berjawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian boleh memuatnaikkan status yang saya sendiri berasa malu nak mengaku dirinya sebagai pemimpin.

Statusnya begini, “Jika kita sponsor bola, kita dapat TIKIT (tiket) ke stadium, tapi jika kita sponsor anak yatim, pelajar tahfiz atau pelajar sekolah, kita dapat tikit (tiket) syurga. Bola berjuta harganya, anak yatim berpuluh RM (Ringgit Malaysia) sahaja!, tapi ramai yang pilih stadium!… Jom berubah”.

Beginilah taraf pemikiran seorang politik bergelar Datuk yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengulas kepimpinan baharu KAFA. Padahal, yang dia kondem itu adalah anak Kelantan dan dia juga anak Kelantan.

Bukan itu saja, ketika Annuar Presiden KAFA, Datuk inilah yang dilihat berada di kerusi paling depan di stadium, malah pernah pula menaja ratusan keping tiket perlawanan akhir TRW kepada pengundi dalam kawasannya.

Kenapa Datuk tidak berikan saja duit tiket berjumlah ribuan ringgit itu kepada anak yatim atau pondok pengajian agama? Kenapa ketika ketua bahagian Datuk pegang KAFA, molek-molek saja Datuk berulang alik ke stadium? Dan tidak pernah teringat pun kepada anak yatim?

Adakah kerana ketua bahagiannya tidak lagi berada dalam KAFA dan beberapa rakan politiknya kalah dalam pertandingan itu, maka Datuk ini pun berubah 360 darjah jadi alim tiba-tiba? Come on lah Datuk. Datuk orang politik. Disegani lagi.

Kalau Datuk muatnaik status sedemikian, bukan setakat saya, ahli kelab bola sepak jajahan di Kelantan pun tidak akan hormat dan hilang hormat pada Datuk.

Apa pun saya anggap status Datuk itu sebagai gurauan semata-mata atau Datuk tidak ada niat hendak memperlekehkan kepimpinan baharu KAFA yang diketuai Bibi. Nampak sangat Datuk dengki dan kecewa dengan kekalahan rakit politik.

Berbalik pengurusan KAFA bawah srikandi cik siti wan kembang ini. Saya cadangkan Bibi kena buat rombakan semula seluruh struktur organisasi termasuk pasukan TRW sendiri.

Mana-mana pemain termasuk mat import yang dibayar gaji besar puluhan ribu dan ratusan ribu, tetapi corak permainannya di padang agak ke laut, baik disisihkan.

Semua Ahli Jawatankuasa (AJK) KAFA harus diberi tugasan. Selain minta idea, cadangan dan pandangan mereka, perturunkan juga tugasan agar mereka turun ke grass root mencari pemain yang bakatnya terpendam.

Tubuh akademik, bawa pelapis terpendam ini, latih dan berikan kursus supaya mereka memahami teknik bermain.

Tak perlu intai pemain pasukan lain, kemudian beli. Itu merugikan duit KAFA. Banyak kena habiskan duit nak beli seorang pemain. Itu pun belum tentu pemain berkenaan dapat beri kemenangan kepada pasukan.

Pasukan yang baik ialah pasukan yang ada sefahaman ketika berada di padang dan tahu merampas bola di kaki lawan serta pandai membuat kesudahan di gawang lawan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast