Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Muhammad Zahid Mahmod.

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah (DQI) di Jalan Keramat Ujung di sini masih mencari lokasi sesuai bagi menjalankan sesi pembelajaran sementara sebelum mereka dibenarkan menggunakan bangunan baharu yang telah siap dinaik taraf.

Pengetuanya Mohd Zahid Mahmood berkata sesi pembelajaran perlu dimulakan pada awal Nov depan sedangkan bangunan baharu yang sepatutnya dijadual beroperasi Oktober ini ditangguhkan dan hanya akan digunakan awal tahun depan.

“Ada beberapa tempat yang telah ditawarkan untuk kami beroperasi buat sementara waktu namun kami perlu mencari institusi yang mendapat kelulusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta tidak terletak terlalu jauh,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Mohd Zahid berkata pusat tahfiz sementara perlu beroperasi di premis berstatus institusi dan bukannya di lot kediaman kerana tidak bersesuaian.

Beliau yang masih bersedih dengan kehilangan 21 pelajar serta dua guru pusat tahfiz DQI mengakui tragedi yang mengorbankan nyawa mereka telah membuka mata banyak pihak sekali gus menambah baik pendidikan pusat tahfiz di seluruh negara.-BERNAMA