Pelarian Rohingya melalui kawasan berselut di sempadan Myanmar-Bangladesh di Teknaf pada tahun lalu selepas berlaku keganasan di Rakhine oleh tentera Myanmar. foto Agensi

DHAKA – Bangladesh menghalang syarikat telekomunikasinya menjual perhubungan telefon bimbit kepada pelarian Rohingya berikutan kekhuatiran terhadap keselamatan negara itu, kata para pegawai.

Empat syarikat telekomunikasi Bangladesh diancam dikenakan denda sekiranya mereka menyediakan sebarang pelan telekomunikasi kepada 430,000 pelarian yang baharu tiba dari Myanmar ketika larangan itu berkuatkuasa.

“Ketika ini, mereka (Rohingya) tidak boleh beli kad SIM,” kata pegawai kanan di Kementerian Komunikasi, Enayet Hossain kepada AFP hari ini.

Keputusan tersebut bagi menghentikan komunikasi kaum minoriti Islam tanpa negara itu atas alasan keselamatan, kata Menteri Telekom, Tarana Halim.

Bangladesh telah mengharamkan penjualan kad SIM kepada warganya yang tidak mempunyai kad pengenalan rasmi, dalam usaha menggagalkan militan di negara itu.

“Kami mengambil langkah (mengalua-alukan kedatangan Rohingya) berdasarkan hak asasi dan dalam masa sama kami tidak kompromi terhadap keselamatan kami,” kata Halim tanpa mengulas lanjut risiko ancaman etnik Rohingya.

Pihak berkuasa telekom Bangladesh berkata, larangan tersebut akan dibatalkan apabila kad pengenalan biometrik dikeluarkan kepada pelarian yang baharu tiba.

Menurut tentera, proses itu akan memakan masa selama enam bulan.

Ia merupakan sekatan terbaharu dikenakan kepada etnik Rohingya yang melarikan diri dalam jumlah besar daripada keganasan di negeri Rakhine ke Cox Bazar, Bangladesh sejak empat minggu lalu. – Agensi

1 Komen

Comments are closed.