KOTA BHARU – DAP bakal memecahkan tradisi apabila dijangka bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ini.
Parti itu dikatakan akan mendapat laluan daripada komponen Pakatan Harapan bagi kerusi Galas di Gua Musang dan Kota Lama di Kota Bharu.
Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan negeri, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, parti tersebut telah memohon untuk bertanding di kerusi DUN negeri ini.
Beliau bagaimanapun berkata, parti itu tidak meminta kerusi Parlimen dan keputusan untuk memberikan kerusi atau tidak dibuat oleh peringkat Pusat.
“Ya ada permintaan (daripada DAP) untuk bertanding di DUN,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Difahamkan DAP akan menampilkan calon daripada masyarakat Orang Asli bagi kerusi Galas manakala DUN Kota Lama kemungkinan besar akan membabitkan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim.
Sejak pilihan raya diperkenalkan di negara ini, DAP tidak pernah meletakkan calon di Kelantan yang lebih 95 peratus penduduknya beragama Islam dan berketuruan Melayu manakala hanya kira-kira 3.8 peratus penduduk berketurunan Cina.
Hampir semua kerusi Parlimen dan DUN di Kelantan adalah kawasan majoriti Melayu. Sebelum ini pada PRU ke-12 dan ke-13, MCA hanya bertanding di satu kerusi iaitu DUN Kota Lama.
Sementara itu, Wan Abdul Rahim berkata, rundingan mengenai pembahagian kerusi dalam Pakatan Harapan masih belum selesai.
“Ada empat kerusi Parlimen yang bertindih di antara PAN, PKR dan PPBM. Rundingan masih dijalankan diperingkat tertinggi.
“Kita sasarkan 12 daripada 14 kerusi Parlimen menjadi milik Pakatan Harapan manakala kita dapat membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah,” katanya. – MalaysiaGazette