Kotak yang mengandungi rokok jenama JM9 White yang dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah Dua di kawasan hutan berdekatan Loji Rawatan Air Sultan Iskandar, Johor.

JOHOR BAHRU – Sebanyak 650 karton rokok tidak sah yang dianggarkan bernilai RM61,100 dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua di kawasan hutan berdekatan Loji Rawatan Air Sultan Iskandar, di sini semalam.

Rokok yang ditemukan dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) itu dirampas semasa pegawai dan anggota PPM Wilayah Dua sedang menjalankan Op Gelora Khas/Landai pada 9 malam.

Komandernya, Asisten Komisioner Paul Khui Khon Chiang berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya mengesan sebuah MPV jenis Honda Stream bernombor plat Singapura dalam keadaan mencurigakan di kawasan Felda Cahaya Baru dekat Masai.

Menurutnya, pihaknya telah mengikut kenderaan tersebut sebelum memintas di kawasan hutan berhampiran Loji Rawatan Air Sultan Iskandar, bagaimanapun dua suspek berada dalam kereta itu melarikan diri ke hutan berhampiran.

“Kedua-dua suspek itu gagal dikesan selepas lebih satu jam usaha mencari dan mengesan dijalankan di kawasan berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan enam kotak mengandungi lebih 650 karton rokok JM9 White yang ditutup dengan kain hitam di tempat duduk belakang.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(e) Akta Kastam 1967. – MalaysiaGazette