Seorang anggota Pasukan Penyelam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dilihat masuk menyelam ke dalam Tasik Taman Reakreasi Padang Balak di belakang Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat bagi mencari bahan bukti berkaitan kes kebakaran pusat tahfiz tersebut. foto SAFWAN MANSOR, 26 SEPTEMBER 2017

KERAMAT – Alat yang digunakan untuk menghisap dadah dan dibuang oleh suspek dipercayai ke dalam tasik di belakang Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang dibakar gagal ditemui pasukan penyelam PDRM

Pencarian selama dua jam lebih oleh empat anggota daripada Pasukan Polis Marin Wilayah 2 yang menyelam di tasik tersebut gagal apabila tiada alat seumpama itu ditemui.

Seorang anggota polis semasa ditanya wartawan hanya menggelengkan kepala sebagai isyarat tidak menemui sebarang barang bukti yang dipercayai dicampak ke dalam tasik tersebut.

Terdapat juga anggota polis yang meronda sekeliling tasik bagi mencari barang bukti sekiranya ia dihanyutkan ke bahagian lain tasik tersebut.

Semua anggota polis mengemas peralatan mereka dan membawa masuk ke dalam van.

Polis menutup kawasan masuk ke taman rekreasi Padang Balak bagi orang awam awal pagi tadi.

Antara lokasi utama yang ditutup daripada akses orang ramai ialah Pusat Darul Quran Ittifaqiyah, Madrasah Ittifaqiyah, Taman Tasik Datuk Keramat dan premis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Polis sudah mengesahkan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar awal pagi 14 September lalu berpunca daripada tindakan khianat susulan tangkapan tujuh suspek.

Ketujuh-tujuh yang ditangkap telah dibawa ke mahkamah dan direman selama tujuh hari dari 16 hingga 22 September.

Hasil ujian air kencing menunjukkan enam daripada suspek positif ganja dan dipercayai khayal semasa melakukan perbuatan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast