Alexandre Lacazette

LONDON – Pengurus West Bromwich Albion, Tony Pulis yang kecewa pasukannya tewas 0-2 kepada Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) awal pagi ini di Stadium Emirates dinafikan sepakan penalti.

Pulis mendakwa penyerang Alexis Sanchez yang tampil kali ke-100 untuk Gunner untuk perlawanan liga sepatutnya dilayangkan kad kuning kerana sengaja merebahkan, malah dihadiahkan tendangan percuma dalam kawasan West Brom empat minit selepas permaianan bermula.

Pulis terus mengeluh beberapa minit kemudian apabila penyerangnya, Jay Rodriguez dijatuhkan oleh pertahanan Arsenal, Shkodran Mustafi.

Pengadil, Bobby Madley meneruskan permainan dan Rodriguez bangkit dan melepaskan rembatan ke arah gol, namun ditepis Petr Cech.

“Semua orang melihat apa yang berlaku hari ini. Jika anda mahu menjadikan contoh untuk sesuatu, tendangan percuma pertama yang diberi kepada Sanchez di penjuru kotak (penalti), dia sebenarnya menjatuhkan diri dan pada pendapat saya dia sepatutnya dilayangkan kad.

“Selepas itu anda lihat Jay dibentis dalam kotak penalti dan pengadil berada pada kedudukan yang baik untuk melihatnya, jelas ia adalah penalti. Semua orang melihatnya malam ini dan mereka boleh membuat keputusan terhadapnya,”  kata Pulis kepada Sky Sports.

Sebagai pengurus, Pulis yang tidak pernah menang di Emirates menambah, Mustafi sepatutnya dibuang padang kerana kekasaran ke atas Rodriguez dan peyerang England itu terlalu jujur untuk mendapatkan sesuatu terhadap kekasaran tersebut.

“Apa yang mengecewakan pada malam ini ialah Sanchez sengaja merebahkan dirinya untuk mendapatkan tendangan percuma yang pertama… dia sepatutnya dilayangkan kad, ia adalah meniopu,” katanya.

“Jay sangat sangat jujur dan tidak diberikan habuan terhadap kejujurannya. Kami tidak mendapat penalti selama lebih setahun dan tiada pemain saya diminta berguling,”.

Dua gol untuk pasukan bimbingan Arsene Wenger dijaringkan oleh Alexandre Lacazette dan jurulatih warga Perancis itu berkata, pengadil memberi advantage kepada Rodriguez di kawasan penalti adalah adil.

“Ya, Mustafi membentis dan menyentuh pemain West Brom, saya rasa ia adalah keputusan yang betul (memberi advantage) kerana dia berada pada kedudukan di mana dia boleh menjaringkan gol dan cubaannya terkena palang,” kata Wenger. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast