Mangsa, Anuar Ahmad (kanan) bersama isterinya Noor Aiza Ridzwan (kiri) bercakap pada sidang media berkenaan pembelian kereta milik mereka yang ditipu oleh sindiket di Our Private Place Villa Puteri Condominium, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Sepasang suami isteri hari ini mendedahkan terdapat sindiket jual beli kereta secara haram yang melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut didedahkan sendiri oleh pegawai kastam.

Perkara itu ‘terdedah’ apabila Anuar Ahmad, 47, bersama isterinya, Noor Aiza Ridzwan, 44, yang membeli kereta Toyota Camry 2.0 pada 2011 yang disita oleh kastam pada Mei 2013.

Menurut Anuar, beliau yang membuat pembelian kereta itu melalui proses biasa pembelian kereta terkejut apabila rumahnya di Semenyih didatangi beberapa pegawai kastam bagi tujuan menyita kenderaan tersebut.

Ketika proses penyitaan tersebut, menurut Anuar, pegawai kastam yang bertugas ketika itu mengakui bahawa kenderaan miliknya itu terlibat dalam sindiket pemalsuan dokumen yang turut didalangi oleh orang tertentu dalam JKDM dan JPJ.

“Kami beli kereta ini ikut proses biasa, macam orang lain beli kereta. Tapi pelik, kereta kami kena sita kononnya tak bayar cukai.

“Tiga laporan polis tapi tiada apa tindakan daripada pihak polis. Malanganya pihak kastam yang datang sita di rumah saya, akui pihak kastam dan JPJ punya sindiket,” katanya dalam sidang media bersama PPIM di Kuala Lumpur hari ini.

Pada 30 Disember 2016, Anuar dituduh kali kedua di Mahkamah Majistret Kajang oleh JKDM atas kesalahan di bawah seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 iaitu menggunakan dokumen palsu.

Bagi pertuduhan tersebut, Anuar boleh dipenjara selama tiga tahun atau kenderaannya dirampas, atau didenda berdasarkan nilai cukai sebanyak sepuluh kali ganda.

Berikutan itu, aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan dalam sidang media sama menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan proaktif bagi menyelesaikan perkara tersebut.

Menurutnya, sebagai pengguna, Anuar tidak mempunyai akses untuk mengetahui sama ada dokumen yang terbat dalam proses jual beli keretanya merupakan dokumen palsu atau sebaliknya.

Justeru, pihak yang perlu bertanggungjawab atau dipertanggungjawabkan adalah Puspakom, JKDM dan JPJ kerana agensi berkenaan mempunyai akses untuk menyiasat ketulenan dokumen kenderaan tersebut, yang juga turut terlibat dalam proses jual beli.-MalaysiaGazette