KUALA LUMPUR – Soal keselamatan pusat tahfiz antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam tadi.

Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak mengambilkira pelbagai cadangan dan berjanji akan mengumumkan sesuatu dalam Bajet 2018 bagi membantu pusat-pusat tahfiz diseluruh negara.

Perdana Menteri berkata, kerajaan prihatin dengan peristiwa kebakaran yang menimpa Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat dua minggu lalu dan ahli MT UMNO meminta kerajaan memainkan peranan yang tegas dalam memastikan keselamatan pelajar pusat tahfiz.

“Kita juga ambil maklum perkembangan kesan peristiwa Maahad Tahfiz di Datuk Keramat… maka MT berharap kerajaan bertindak secara tegas terutama soal keselamatan pelajar-pelajar yang lain perlu diambilkira.

“Kerajaan akan umum sesuatu dalam belanjawan (Bajet 2018) berhubung kedudukan sekolah tahfiz di seluruh negara,” kata beliau semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC malam tadi.

Mengulas lanjut berhubung Bajet 2018, Najib berkata, kerajaan akan menunaikan mana-mana janji yang dibuat sebelum ini dan memberi komitmen untuk melaksanakannya.

“Bajet seperti biasa ia perlu seimbang kerana kita sudah membuat janji tertentu dan komitmen kepada pasaran dan akan terus menghormati komitmen tersebut,” katanya.

Menurut Najib, bajet yang akan dibentang tidak boleh berbentuk populis atau tidak bertanggungjawab secara fiskal.

“Kita tidak boleh populis atau dalam erti kata lain tidak bertanggungjawab secara fiskalnya. Kita perlu berhemah dan pada masa sama memastikan pembangunan konsisten.

“Kebajikan kepada rakyat perlu termasuk dalam bajet,” ujarnya lagi.

Najib juga berkata beberapa sektor yang utama akan menjadi fokus utama kerajaan dimana pakej rangsangan akan diumumkan bagi memastikan pembangunan untuk rakyat turut berkembang. – MalaysiaGazette