KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) sudah menghantar nama calon-calon Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disaring terlebih dahulu.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, sebahagian nama calon sudah berada pada SPRM.

Selepas dimuktamadkan,  ia akan dihantar kepada agensi penguatkuasaan itu bagi disemak.

“Sebahagian sudah ada nama pada SPRM, sebarang tambahan boleh dikemukakan. BN sudah ada nama calon tapi belum diperingkat untuk disahkan dan sebahagiannya sudah ada pada SPRM,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC malam tadi.

Jelas Najib, langkah sedemikian hanya dilakukan oleh BN sahaja dan parti pembangkang setakat ini belum ada menyerahkan calon kepada SPRM.

Dalam mesyuarat sama, Najib juga mengambil maklum mengenai perkembangan semasa politik negara yang berada pada tahap positif susulan kejayaan negara semasa Sukan SEA baru-baru ini dimana berjaya meraih kejayaan juara keseluruhan disamping sambutan Kemerdekaan yang ke-60 pada 31 Ogos lalu.

“Saya ambil maklum bahawa perkembangan mutakhir ini berikutan pelancaran sistem pengangkutan yang canggih, kejayaan berganda Sukan SEA dan sambutan 60 tahun Kemerdekaan banyak mempengaruhi suasana dan ia memberi momentum positif kepada BN,” katanya.

Bagaimanapun, Najib tidak mahu mengambil mudah dengan perkembangan tersebut dan berharap supaya ia diteruskan sehingga menjelang PRU-14 nanti.

“Namun, kita kena pastikan momentum positif ini untuk teruskan selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Najib juga berkata persediaan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun ini berjalan dengan baik dan akan dijalankan dengan suasana meriah.

“Tentang program sekitar PAU pada 5 Disember kita akan jadikan PAU sebagai himpunan yang meriah dan mendapat sambutan yang positif dan baik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast