Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad melihat model bangunan baharu SPRM ketika hadir pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke-50 penubuhan Agensi Pencegahan Rasuah Malaysia dan Perasmian Bangunan baharu SPRM di kompleks baharu Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 01 OKTOBER 2017

PUTRAJAYA –  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya menyita harta yang dikaitkan dengan rasuah dan penyalahgunaan kuasa bernilai RM334.5 juta setakat Ogos tahun ini.

Jumlah sitaan tersebut menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad menyaksikan peningkatan drastik berbanding nilai sitaan sebanyak RM55 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kejayaan sitaan tersebut juga menyaksikan peningkatan dalam tangkapan dan pendakwaan yang dilakukan SPRM bagi tempoh yang sama, katanya pada majlis perasmian bangunan baharu SPRM di Putrajaya hari ini.

Bagi tempoh sama jumlah pertuduhan turut meningkat sebanyak 32.8 peratus kepada 405 kes.

Manakala jumlah pembukaan kertas siasatan meningkat sebanyak  2.94 peratus kepada 952 untuk tempuh yang sama.

Jumlah maklumat diterima SPRM meningkat sebanyak 6,419 iaitu 2. 63 peratus.

Hasil daripada maklumat tersebut jumlah tangkapan yang dilakukan ialah 910, meningkat 6.04 peratus.

Tambah Dzulkifli, kejayaan itu adalah hasil komitmen dan semangat juang serta kesungguhan kerja luar biasa dan penuh dedikasi ditunjukkan pegawai-pegawai SPRM.

Majlis perasmian Kompleks Ibu Pejabat SPRM yang baharu itu, disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ini merupakan kompleks pejabat agensi pencegahan rasuah terbesar di dunia dan merupakan simbol terbaharu di Putrajaya,” kata Najib dalam ucapannya pada majlis tersebut.

Bangunan baharu SPRM siap dibina sepenuhnya dan diserahkan secara rasmi, 21 Julai lalu.

Ia direka bentuk agar menepati keperluan operasi serta sistem pentadbiran SPRM.

Didirikan di atas tanah berkeluasan 2.07 hektar, dengan tiga menara setinggi 14,18 dan22 tingkat, ia mampu menempatkan kira-kira 1,800 kakitangan.

Daripada aspek keselamatan, bangunan baharu ini mempunyai 354 unit kamera litar tertutup (CCTV) yang mengawal persekitaran luar dan dalam bangunan termasuk di dalam lif serta keseluruhan kawasan dipagari dengan pagar jenis anticlimb dan anticutting yang sukar ditembusi penceroboh.

Turut dirasmikan Yayasan Prihatin SPRM yang berteraskan kebajikan untuk menampung kekurangan keperluan dan kewangan warga SPRM dan ahli keluarga.

Selain itu, dana yayasan ini juga akan disalurkan kepada rakyat yang memerlukan bantuan dari sudut kewangan melalui program-program SPRM bersama masyarakat.

Orang ramai juga boleh menyumbang kepada tabung yayasan bagi menyokong matlamat penubuhannya. – MalaysiaGazette