KUALA LUMPUR – Bilangan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meningkat 1.41 peratus kepada 15 juta manakala jumlah sumbangan meningkat 7.27 peratus kepada RM16.52 bilion pada suku kedua 2017, menjadikan jumlah sumbangan terkumpul ahlinya kepada RM712 .04 bilion.

Pada suku kedua 2016, jumlah ahlinya seramai 14.80 juta.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) KWSP Datuk Mohd Naim Daruwish berkata daripada 15 juta ahli, 6.97 juta atau 46.47 peratus merupakan penyumbang aktif.

Beliau bagaimanapun berkata jumlah majikan baharu yang berdaftar, merosot 2.14 peratus kepada 14,952 berbanding 15,279 majikan yang didaftarkan pada suku kedua yang sama 2016, katanya dalam satu kenyataan.

Pengeluaran Sekali Gus bagi Umur 60 menyaksikan 13,957 permohonan diluluskan berjumlah RM358.67 juta, manakala Pengeluaran Umur 60 Flexi menyaksikan sebanyak 27,476 permohonan yang diluluskan berjumlah RM624.28 juta.

Sementara itu, beliau berkata permohonan bagi Pengeluaran Fleksibel Umur 55 yang diluluskan pada suku kedua 2017 menurun 50.96 peratus kepada 44,679 berbanding 91,111 permohonan yang diluluskan pada suku yang sama pada 2016.

Jumlah yang dikeluarkan menerusi skim tersebut sebanyak RM1.73 bilion berbanding RM2.70 bilion pada 2016. Pada suku pertama 2017 sebanyak 55,925 permohonan diluluskan bernilai RM2.21 bilion.

Permohonan yang diluluskan untuk Pengeluaran sekali gus Umur 55 pada suku semasa, juga menurun 25.32 peratus kepada 41,031 (RM2.45 bilion) berbanding 54,946 permohonan yang diluluskan (RM2.69 bilion) pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pada suku pertama 2017 terdapat 49,371 permohonan yang diluluskan berjumlah RM3.30 bilion.

Kadar majikan ingkar pada suku tahun itu stabil kepada 1.11 peratus, yang menunjukkan kecekapan KWSP dalam tindakan pemulihan selain meningkatkan kesedaran dalam kalangan majikan terhadap kesejahteraan persaraan pekerja masing-masing, katanya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast