Aksi Nik Fariezal Erman Nik Abd. Hadi dalam acara lompat kijang pada Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur pada Ogos lalu.

KUALA LUMPUR – Atlet pelapis lompat kijang negara, Nik Fariezal Erman Nik Abd. Hadi meraih emas dalam Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2017 setelah mencatat lompatan sejauh 15.44 meter, hari ini.

Berlangsung di Stadium Darulmakmur di Kuantan, Pahang, atlet yang mewakili Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) itu tidak berdepan masalah untuk meninggalkan pencabar terdekat iaitu Muhamad Fitri Anaqi Sobry dari Majlis Sukan-Sukan Malaysia (MSSM) di tempat kedua dan Lau Jit Sung dari Majlis Sukan Politeknik Malaysia (MSPM).

Kejayaan tersebut dilihat sebagai membakar semangat kembali buat Nik Fariezal, 21, selepas menamat kedudukan tempat keenam pada Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur, pada Ogos lalu.

Namun mahasiswa Universiti Putra Malaysia itu berjaya melakukan catatan peribadi terbaik dengan lompatan 15.73 meter pada sukan berprestij di Asia Tenggara itu.

Sementara itu, rekod SIPMA masih lagi menjadi milik jaguh kebangsaan, Muhamad Hakimi Ismail sejauh 15.72 meter yang dibuat pada 2011 manakala rekod kebangsaannya pula adalah 16.77 meter.

Dalam pada itu, SIPMA 2017 yang berlangsung di Kuantan bermula 29 Oktober lalu hingga 8 Oktober ini menyaksikan tujuh acara dipertandingkan seperti balapan dan padang, renang, hoki, bola sepak, boling, badminton dan skuasy.

Sebanyak lapan kontijen bertanding iaitu MASUM, MSSM, MSPM, Majlis Sukan Matrikulasi Malaysia (MSMM), Majlis Sukan Institusi Pendidikan Guru Malaysia (MSIPGM), Majlis Sukan Kolej Vokasional (MASKOV), Majlis Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta Malaysia (MASISWA) dan Majlis Sukan Kolej Komuniti Malaysia (MASKOM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast