Home Ekonomi Jepun serbu kilang Nissan

Jepun serbu kilang Nissan

TOKYO – Kementerian Pengangkutan Jepun melakukan serbuan di dua buah kilang yang menghasilkan kereta Nissan Motor Co, selain empat pemeriksaan yang dilakukan minggu lepas
sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas pemeriksaan kenderaan yang tidak disahkan.

Nissan akan menarik balik semua 1.2 juta kereta penumpang baharu yang dijual di Jepun dalam tempoh tiga tahun yang lalu selepas mendapati pemeriksaan kenderaan terakhir tidak dilakukan oleh juruteknik yang sah di enam buah kilang.

Dua sumber memberitahu Reuters, serbuan baru-baru ini menunjukkan nama-nama juruteknik yang diperakui telah digunakan pada kertas pemeriksaan untuk menandatangani pemeriksaan terakhir yang dijalankan oleh juruteknik yang tidak disahkan.

Ada kemungkinan perkara sama telah berlaku pada sebahagian besar atau kesemua enam kilang Nissan.

Nissan mengesahkan kementerian telah menjalankan pemeriksaan di tapak di kilang Tochigi dan Kyoto Autoworks.

“Kami sedang menjalankan siasatan (dengan bantuan pihak ketiga) berhubung isu pemeriksaan kenderaan di kilang kami,” kata jurucakap Nick Maxfield dalam kenyataan yang diemail.

Panggilan semula Nissan itu adalah kejadian salah laku kedua yang melibatkan pembuat kereta Jepun dalam masa beberapa tahun, selepas Mitsubishi Motors Corp yang mengaku pada April 2016 telah memalsukan ekonomi bahan api beberapa model pasaran domestiknya.

Penarikan balik itu termasuk semua 386,000 kenderaan penumpang Nissan yang dijual di Jepun pada 2016, kira-kira 10 peratus daripada jualan globalnya dan isu ini timbul semsa Nissan telah menikmati jualan kukuh domestik daripada model Serena dan Note. – MalaysiaGazette