Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Setelah kepimpinan tertinggi Parti Amanah Negara (PAN) mengeluarkan kenyataan mengenai status Khalid Samad yang dikatakan akan bertanding di Johor Bahru, Pengarah Strategik PAN itu akhirnya membuka mulut.

Kata Khalid, beliau hanya akan bertanding di kerusi Johor Bharu sekiranya penyandangan, Tan Sri Shahrir Samad tidak bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) kelak.

“Malangnya bagi saya ialah abang saya tunda rancangannya untuk bersara. Kalau dia bersara, dan dengan izin dan persetujuan PKR, saya sanggup turun bertanding di Johor Bahru.

“Tapi oleh kerana dia akan bertanding, kerana dia abang, saya tak mahu terlibat dalam satu keadaan di mana saya bertanding dengan abang saya,” katanya memetik laporan sebuah portal politik hari ini.

Kerusi Parlimen Johor Bahru dilihat sukar untuk ditandingi oleh PAN kerana kerusi itu adalah milik PKR.

Ini diakui sendiri oleh Timbalan Presiden PAN yang juga Pengarah PRU Johor, Salahuddin Ayub.

“Tapi kalau Khalid balik ke Johor tidak semestinya kerusi Johor Bahru itu. Mungkin kita akan letakkan di tempat lain kerana kerusi itu adakah kerusi PKR, bukan kerusi Pas dulu,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAN semalam.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, beliau terpaksa membuat pertimbangan semula untuk bertanding di kerusi Johor Bahru.

Ini kerana abangnya, Shahrir bertindak untuk terus mempertahankan kerusi yang ditandinginya sejak 1978.

“Rancangan saya untuk mencipta sejarah menangkan Johor Bahru supaya Johor jatuh (ke tangan PH), saya terpaksa pertimbangkan kembali,” katanya. -MalaysiaGazette.

Comments are closed.