Iskandar A. Samad

KUALA LUMPUR – Exco Kerajaan Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad akan melakukan lawatan ke kawasan pangsapuri kos rendah Taman Pandan Mewah di sini esok.

Lawatan itu dalam usaha beliau meninjau sendiri masalah yang dibangkitkan penduduk di situ berhubung kewujudan ‘Little Myanmar’.

Menurutnya, beliau turut menjemput Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), Jabatan Imigresen, Polis dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) untuk bersamanya.

“Saya sendiri akan turun padang bersama pihak berkuasa ini jam 4.30 petang esok,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Kata Iskandar, beliau menerima banyak aduan dari penduduk sekitar pangsapuri itu mengenai kegiatan pendatang asing tanpa izin yang dikatakan sudah bertukar menjadi pusat berkumpul etnik Myanmar.

Kawasan itu, ujar beliau terletak di belakang Hospital Ampang  dan lawatan itu juga untuk mengenalpasti masalah di kawasan berkenaan agar pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan sewajarnya.

“Saya harap program ini akan dapat menyelesaikan masalah dihadapi penduduk tempatan,” kata Iskandar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Chempaka.- MalaysiaGazette