Seorang pelakon bergelar Dato' yang ditahan reman kerana dipercayai menipu orang ramai untuk membeli rumah. - foto media sosial
PEKAN -Kerajaan negeri Pahang menyiasat penganugerahan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada seorang pelakon yang disiasat berhubung kes penipuan penjualan rumah membabitkan nilai RM6.2 juta.

Setiausaha kerajaan negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata tindakan awal telah diambil dengan menyemak sekiranya nama pelakon itu pernah disenaraikan sebagai seorang daripada penerima penganugerahan darjah atau pingat kebesaran daripada istana Pahang.

“Semua dalam siasatan. Tindakan boleh diambil jika (pelakon itu) menggunakan gelaran Datuk tanpa pertauliahan. Jika benar gelaran tersebut diberikan, setiap penerima perlu menjaga etika dan kemuliaannya agar institusi istana terpelihara,” katanya.

Muhammad Safian berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui pada Perbarisan Perasmian Latihan Kem Tahunan 2017 Rejimen 505 Askar Wataniah, Sungai Miang di sini hari ini, yang disempurnakan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan membawa perkara itu kepada pengetahuan Sultan Pahang untuk tindakan selanjutnya seperti penarikan semula gelaran tersebut.

Sehubungan itu, Muhammad Safian menasihatkan semua penerima darjah atau pingat kebesaran dari istana Pahang untuk menjaga etika dan berkelakuan sopan bagi menjaga kemuliaan pemberian gelaran itu dan institusi kesultanan.

Pada 3 Okt lalu, media melaporkan seorang pelakon berstatus Datuk ditahan bersama dua individu lain berikutan 188 laporan polis oleh individu yang mendakwa ditipu dua syarikat yang menawarkan rumah kepada pembeli pada harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.

Bagaimanapun, syarikat berkenaan didakwa tidak menjalankan pembinaan rumah seperti yang dijanjikan selepas pembeli melunaskan pembayaran.

— BERNAMA