Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bercakap pada sidang media di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 23 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Tidak menolak UMNO dan Pas akan menjalinkan satu kerjasama politik atas kebersamaan yang ada, Tan Sri Annuar Musa memberi janji satu berita baik akan diumum berhubung bentuk hubungan dua hala antara kedua-dua parti tersebut dalam masa terdekat nanti.

Ketua Penerangan UMNO itu menjangkakan pengumuman kerjasama itu bakal diumum apabila pilihan raya semakin dekat dan ia pasti akan menggembirakan masyarakat Melayu dan Islam yang sudah lama menantikan kedua-dua parti itu untuk berada sepentas.

“Tunggu lah, mungkin beberapa minggu atau bulan lagi, apabila pilihanraya makin dekat, saya percaya akan ada pengumuman yang akan menggembirakan rakyat terutamanya orang Islam dan kaum Melayu. Selagi mana ada titik kebersamaan, kerjasama itu akan terbentuk,” kata beliau dipetik Sinar Harian.

Annuar menghadiri jelajah Dialog Perjuangan 4 All di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau semalam.

Jelasnya lagi, bentuk kerjasama itu tidak bermaksud Pas menyertai UMNO tapi yang penting ia adalah atas matlamat perjuangan sama.

“Ramalan ini dilihat dari sudut matlamat dan titik kebersamaan, bukannya bermaksud Pas masuk UMNO atau UMNO
masuk Pas. Tidak semestinya Pas menyertai BN.

“Apa yang penting, matlamat perjuangan. Atas dasar ini lah yang menyebabkan saya meramalkan terbentuknya kerjasama yang lebih kukuh antara kedua-duanya dari masa ke semasa,” katanya.

Menurutnya, selain itu, kedua-dua parti itu juga didapati mempunyai DNA yang sama dan itu akan membolehkan Pas dan UMNO membentuk kerjasama.

“Kerjasama ini dilihat akan terbentuk dari masa ke semasa kerana didapati kedua-dua parti mempunyai DNA yang sama. Walaupun Pas menjunjung ideologi dan cara yang berbeza, namun mereka mempunyai DNA dan matlamat yang sama dengan kita, iaitu memperjuangkan kepentingan agama Islam dan orang Melayu.

“Dahulu, kita lihat Pas dalam proses mencari perbezaan antara mereka dengan UMNO. Akan tetapi, dengan pentadbiran baharu, di bawah pucuk kepimpinan Pas yang ada sekarang, mereka kini menunjukkan sedikit perubahan apabila mereka mula mencari titik kebersamaan itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette