KUALA LUMPUR – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pantang ditegur, lebih lagi kalau yang menegur itu adalah Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.
Melenting dengan kritikan itu, Mohamed Azmin hari ini, mempersoalkan kenapa Noh sendiri tidak hubungi Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Petaling mengarahkan agar pihak berkenaan tidak meroboh rumah yang didiami bilal Masjid Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz (LTSAAS) di Subang.
“Tanah itu (yang diduduki dua keluarga) tanah Kerajaan Persekutuan. Kenapa dia (Noh) sendiri tidak buat panggilan kepada PTD arah jangan roboh.
“Sepatutnya dia perlu patuh kepada undang-undang. Jangan melihat semuanya dalam konteks politik,” katanya pada majlis penyerahan kunci Skim Smart Sewa di Bandar Kinrara, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Noh berhubung perobohan tiga rumah dan dua kedai di pekarangan masjid LTSAAS dua hari hari lalu, boleh dihalang dengan hanya satu panggilan telefon sahaja.
Menurut Mohamed Azmin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu sebenarnya mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan sebarang keputusan PTD berkenaan keputusan perobohan kediaman terbabit.
Ini kerana, ujar beliau, tanah itu terletak bawah budang kuasa Kerajaan Persekutuan dan Noh pada bila-bila masa boleh keluarkan arahan untuk menghentikannya. – MalaysiaGazette
Comments are closed.