Sebahagian daripada anggota bomba yang membawa hos paip selepas kerja-kerja memadamkan api dalam kejadian kebakaran Pusat Tahfiz

KLANG – Empat bilik asrama yang terletak di aras atas bangunan dua tingkat pusat tahfiz Nur Al-Quran di Rantau Panjang, Kapar di Klang, Selangor, musnah dalam kebakaran hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Zaidi Ahtan berkata kebakaran itu bagaimanapun tidak mengakibatkan kecederaan mahupun kehilangan nyawa oleh kerana ketika kejadian, kesemua pelajar tahfiz itu berada di aras bawah.

“Bomba dapat panggilan berhubung kejadian itu kira-kira 2.45 petang dan tiba di lokasi kira-kira lima minit kemudian.

“Dilaporkan ketika kejadian, 25 pelajar lelaki dan dua guru yang menghuni di asrama itu berada di tingkat bawah mengikuti kelas mengaji,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata kebakaran yang berpunca dari bilik tengah asrama tersebut dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira 20 minit kemudian.

​”Semua bilik di tingkat atas musnah sepenuhnya dan api berjaya dikawal sebelum merebak ke aras bawah bangunan ini. Punca sebenar kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” kata Zaidi.

Sementara itu seorang pelajar, Ahmad Ammar Rasyid Norhisham, 15, berkata dia menyedari kejadian itu selepas terhidu dan melihat asap tebal di aras atas premis berkenaan.

Ahmad Ammar berkata dia cuba memadamkan kebakaran tersebut menggunakan sebaldi air tetapi gagal dan memaklumkan kejadian tersebut kepada gurunya yang kemudian menghubungi bomba.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Kapar Datuk Faizal Abdullah yang ditemui pemberita berkata beliau dimaklumkan bahawa pusat tahfiz tersebut masih belum didaftarkan.

Beliau berkata pihaknya juga telah meminta bomba menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian kebakaran itu bagi membolehkan pusat tahfiz berkenaan didaftarkan segera.

Jelasnya, Umno Kapar juga akan memberikan bantuan segera kepada penghuni pusat tahfiz tersebut termasuk menyediakan keperluan asas mereka.

“Buat masa ini mereka akan ditempatkan sementara di inap desa berdekatan,” tambahnya.-BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast