Home Nasional RUMAWIP tawar pangsapuri bertaraf kondominium

RUMAWIP tawar pangsapuri bertaraf kondominium

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) mendegar penerangan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mah Sing, Datuk Ho Han Sang (kanan) ketika melihat replika rumah pada Majlis Pelancaran dan Sesi Cabutan Undi Rumawip Residensi Seri Wahyu di Galeri Jualan Lakeville, Taman Wahyu, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 29 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Hasrat untuk memiliki rumah sendiri bagi eksekutif bank terutamanya di bandar raya akhirnya tercapai menerusi projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), satu inisiatif kerajaan bagi membolehkan golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah sendiri.

Phang Jiun Jiann, 30, berkata pemilikan unit itu sangat berbaloi demi masa hadapan kerana pangsapuri Residensi Pandanmas, satu daripada projek RUMAWIP di bandar raya mempunyai kemudahan bertaraf kondominium.

“Melihat kepada harga kediaman pada masa ini yang begitu mahal membuatkan saya rasa mustahil untuk membeli rumah sendiri terutamanya di Kuala Lumpur.

“Namun apabila saya terjumpa iklan mengenai RUMAHWIP di akhbar, saya segera buat permohonan secara dalam talian dan berjaya mendapat rumah ini kurang daripada dua tahun,” katanya.

Jiun Jiann berkata, golongan muda yang layak hendaklah merebut peluang membuat permohonan membeli RUMAWIP.

Bagi eksekutif di syarikat swasta, Mohammad Noor Bahari, 32, projek RUMAWIP dapat membantu golongan belia memiliki rumah sendiri.

“Setiap orang sudah tentu ada pasang cita-cita nak ada rumah sendiri tambahan lagi apabila dapat peluang menetap di kawasan yang mudah mendapat akses ke lokasi utama di pusat bandar.

“Apatah lagi segala kemudahan asas di kediaman ini seperti dobi, pengurusan bangunan yang cekap dan persekitaran yang bersih membuatkan harga RM300,000 yang dibayar berbaloi,” katanya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata sebanyak 40,118 unit RUMAWIP siap dibina sejak 2013 sehingga September lalu dengan di Kuala Lumpur (29,030 unit), Putrajaya (8,826 unit) dan Labuan (2,262 unit) .

“Sambutan orang awam terhadap RUMAWIP sangat menggalakkan. Sehingga kini, terdapat 158,180 pemohon berdaftar melalui portal RUMAWIP.

“Keperluan penyediaan rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan bersesuaian dengan kemampuan membeli rakyat yang menetap di bandar terutamanya golongan berpendapatan sederhana, iaitu isi rumah pendapatan kurang daripada RM15,000 sebulan bagi yang berkahwin dan RM10,000 sebulan bagi golongan bujang,” katanya.

Antara projek kediaman RUMAWIP ialah Residensi Pandanmas, Residensi Wangsa Meranti, Residensi Puchongmas, Residensi Jalilmas, Residensi Hijauan dan Residensi Semarak Platinum.

Daripada segi angka pembinaan projek RUMAWIP mengikut kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan, terdapat 18 projek dengan penawaran 12,972 unit di Parlimen Batu; 16 projek (11,098 unit) di Wangsa Maju; 13 projek (9,917 unit) di Bandar Tun Razak; 12 projek (7,477 unit) di Cheras; masing-masing lapan projek iaitu (6,346 unit) di Seputeh; (2,452 unit) di Lembah Pantai; (4,433 unit) di Setiawangsa; tujuh projek (4,433 unit) di Parlimen Titiwangsa; lima projek (4,726 unit) di Kepong dan satu projek (330 unit) di Segambut).

Wilayah Persekutuan Putrajaya mempunyai dua projek pembinaan dengan 2,906 unit dan di Labuan sebanyak 13 projek dengan 3,016 unit.

“Program RUMAWIP tidak melibatkan sebarang insentif berbentuk dana daripada Kerajaan Persekutuan dan bergantung sepenuhnya kepada inisiatif daripada pihak swasta atau pemaju mengikut harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM300,000,” katanya.

Tengku Adnan berkata, nilai keseluruhan projek RUMAWIP dianggarkan berjumlah RM20 billion.

Beliau berkata, RUMAWIP ialah inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan yang menyasarkan penyediaan 80,000 unit rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan menjelang 2020 iaitu 55,000 unit di Kuala Lumpur; 20,000 unit di Putrajaya dan 5,000 unit di Labuan.

“Bagi pemilik yang berjaya memiliki unit RUMAWIP, mereka tidak boleh menjual semula kediaman tersebut dalam tempoh 10 tahun selain tidak boleh menyewakannya kepada orang lain.

“Sekiranya mereka didapati berbuat demikian, tindakan tegas akan diambil serta-merta,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast