Home Nasional KPDNKK giat tangani seleweng barangan subsidi

KPDNKK giat tangani seleweng barangan subsidi

JITRA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kini giat menangani isu ketirisan dan penyelewengan barang kawalan bersubsidi di sempadan negara dalam usaha memperkasa hak pengguna.

Pengarah Bahagian Penguat kuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudi berkata, langkah itu dilaksanakan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara perkongsian pintar menerusi Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dapat mengatasi masalah itu dengan lebih efektif.

“Selalunya anggota keselamatan yang mengawal di pintu masuk sempadan lebih menumpukan kepada barang yang diseludup masuk, dan bukannya yang diseludup keluar. Jadi menerusi kerjasama ini kita turut akan lebih menumpukan kepada barang yang diseludup keluar terutama barang bersubsidi seperti minyak masak, gas, diesel, petrol dan gula.

“Barang kawalan dari negara kita seperti minyak masak ini murah sebab ada subsidi yang sepatutnya dinikmati sepenuhnya oleh rakyat tempatan, bukannya dengan diseludup keluar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat perundangan dan akta-akta yang dikuatkuasakan Bahagian Penguat kuasa KPDNKK kepada pegawai dan anggota ATM di Kem Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di sini, hari ini.

Mohd Roslan berkata, kawalan dan pemantauan menerusi kerjasama berkenaan akan dapat dipertingkatkan setelah operasi di pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam beroperasi 20 jam mulai 1 November.

“KPDNKK bersiap sedia apabila pintu sempadan ini dibuka 20 jam. Anggota keselamatan akan lebih berhati-hati memantau barang bersubsidi ini yang diseludup keluar ke negara jiran. KPDNKK juga akan bekerjasama dengan pihak Kastam, Polis Marin dan pihak sempadan untuk memantau aktiviti-aktiviti penyeludupan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Roslan berkata, sebanyak 48 kes penyeludupan membabitkan barang kawalan bersubsidi dengan nilai RM156,491,dirampas ATM semasa kawalan di pintu sempadan di seluruh negara yang direkodkan bagi tempoh 2013 hingga tahun ini.

“Untuk Kedah sahaja, di pintu masuk sempadan di Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung, bagi tempoh sama sebanyak 16 kes direkodkan dengan nilai rampasan oleh ATM berjumlah RM6,658,” katanya. – MalaysiaGazette