KUALA LUMPUR – Selepas ini para pengamal mungkin tidak perlu lagi beratur seawal pagi untuk mendapatkan pas membuat liputan kes berprofil tinggi di mahkamah.
Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif berkata, sebuah skrin mungkin boleh dipasang di luar kamar mahkamah tempat prosiding kes berprofil tinggi dijalankan bagi memudahkan petugas membuat liputan.
“Kawasan dalam kamar mahkamah memang sempit, kami tidak boleh ubah.
“Tetapi apa yang saya boleh fikir sekarang adalah memasang skrin besar di luar supaya para wartawan dapat membuat liputan kes berprofil tinggi walaupun tidak berada di dalam kamar mahkamah,” katanya yang melontarkan idea spontan semasa menjawab soalan seorang pengarang akhbar.
Pengarang itu bertanya apakah yang boleh dilakukan oleh pihak mahkamah bagi memudahkan tugas wartawan membuat liputan kes-kes berprofil tinggi.
Ini kerana, pengamal media terpaksa beratur awal pagi bagi mendapatkan pas khas yang sangat terhad sebelum dibenarkan membuat liputan perbicaraan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong nam di Shah Alam, Selangor.
Raus berkata demikian semasa menyampaikan ucapan bertajuk Reformasi Kehakiman oleh Badan Kehakiman Malaysia sempena Majlis Makan Tengahari anjuran Institut Akhbar Malaysia (MPI) di sini hari ini.
Beliau turut berjanji untuk memperbaiki kekurangan yang ada bagi memudahkan tugas media, sekali gus membolehkan pengamal media mendapat maklumat sahih dan seterusnya melaporkan berita yang tepat kepada orang ramai.
Dalam pada itu, Raus berkata, institusi kehakiman juga sedang melalui perubahan terutama dari segi teknologi sejajar dengan perkembangan dunia di hujung jari.
“Sekarang pun sudah ada banyak sistem berteknologi tinggi yang digunakan untuk memudahkan urusan pentadbiran di mahkamah namun kadang-kala ada orang ramai, majistret peguam atau hakim yang berusia seperti saya yang lebih suka cara lama.
“Kami sentiasa mengadakan latihan dari masa ke semasa bagi memantapkan pengetahuan para hakim dan peguam.
“Tidak mustahil 10 atau 20 tahun akan datang, seseorang itu tidak perlu langsung untuk hadir ke mahkamah untuk urusan-urusan tertentu kerana ia boleh dipohon melalui sistem di dalam talian sahaja. Kami sedang berusaha ke arah itu,” katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai tahap ketelusan badan kehakiman di negara ini, Raus berkata, ianya sangat telus, bebas dan tidak dipengaruhi mana-mana pihak.
“Namun begitu, apabila melibatkan kes-kes berprofil tinggi seperti ahli-ahli politik, masyarakat cenderung untuk membuat penghakiman sendiri dan apabila berlawanan dengan apa yang kami putuskan, mereka tuduh badan kehakiman tidak telus dan tidak bebas.
“Disebabkan itu juga, sejak kebelakangan ini kami ada mengeluarkan kenyataan ringkas berkenaan keputusan penghakiman sesuatu kes bagi membolehkan orang ramai membaca dan membuat penilaian sendiri tanpa dipengaruhi sesiapa,” katanya lagi.-MalaysiaGazette