KUALA LUMPUR – MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd. mengesahkan kematian seorang kakitangan warga Bangladesh dalam kejadian letupan di tapak MRT di Bandar Malaysia semalam.

Dua lagi dilaporkan dalam keadaan kritikal.

“Dengan dukacita kami memaklumkan terdapat tiga mangsa yang cedera, seorang cedera parah dan meninggal dunia malam tadi. Dua lagi kritikal.

“Punca insiden tersebut akan diketahui selepas siasatan penuh selesai,” kata MMC-Gamuda dalam kenyataan di sini.

Bandar Malaysia Selatan adalah salah satu daripada 11 stesen bawah tanah di bawah Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya.

MMC-Gamuda adalah kontraktor kerja bawah tanah untuk projek itu, semalam telah mengesahkan kejadian yang berlaku pada pukyul 5 petang.

Ketika itu semua mangsa dikatakan sedang melakukan kerja-kerja pembersihan di luar tapak MRT Bandar Malaysia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh mengesahkan kejadian itu kepada Bernama semalam semasa masih berjawatan Ketua Polis Kuala Lumpur.

Letupan itu dipercayai daripada bom lama semasa Perang Dunia Kedua. – MalaysiaGazette