Home Nasional Satu buku kerja setiap mata pelajaran

Satu buku kerja setiap mata pelajaran

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan mengingatkan pihak sekolah untuk hanya membenarkan satu buku kerja sahaja bagi setiap satu mata pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) untuk murid Tahun Empat hingga Tahun Enam.

Timbalan Menterinya Datuk Chong Sin Woon berkata, perkara tersebut menjadi perhatian kementerian kerana terdapat aduan bahawa kebiasaannya pada hujung tahun telah mula diedarkan senarai cadangan pembelian buku-buku kerja bagi kegunaan murid untuk tahun hadapan.

“Saya telah memaklumkan kepada pihak kementerian untuk meneliti perkara ini bermula sesi persekolahan 2018 kerana isu ini telah lama wujud terutamanya di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

“Penggunaan buku kerja ketika sesi pengajaran bukanlah satu cara yang betul kerana buku teks yang disediakan kementerian sudah mencukupi dan buku kerja hanya sebagai tambahan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Jelasnya penggunaan buku kerja yang banyak bukan sahaja tidak mematuhi arahan pekeliling tetapi juga tidak sesuai untuk kementerian melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang menekankan unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam kalangan murid.

Beliau berkata Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 1/2000 jelas menyatakan penggunaan buku kerja tidak dibenarkan kepada murid Tahap Satu (Tahun Satu hingga Tahun Tiga) kerana buku latihan aktiviti telah disediakan oleh Bahagian Buku Teks, Kementerian Pendidikan.

“Manakala bagi murid-murid Tahap Dua (Tahun  Empat hingga Tahun  Enam) hanya satu judul buku pelajaran dibenarkan untuk tiap-tiap satu mata pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains serta Bahasa Cina dan Bahasa Tamil masing-masing untuk SJKC dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.

Katanya pemilihan buku kerja haruslah dilakukan oleh panitia mata pelajaran masing-masing yang akan mencadangkan buku kerja yang paling sesuai dari segi isi kandungan, mutu dan harga.

“Pembelian buku kerja hanyalah satu cadangan dan ibu bapa masih boleh memilih untuk tidak membeli kerana tiada unsur paksaan,” katanya.

Menurutnya bagi melaksanakan dasar tersebut para guru tidak sepatutnya menggunakan buka kerja ketika sesi pengajaran dalam kelas bagi mengelakkan murid yang tidak membeli buku tersebut daripada teraniaya.

“Kami juga mendapat aduan daripada ibu bapa yang mengatakan senarai buku kerja yang perlu dibeli adalah terlalu banyak hingga berjumlah ratusan ringgit dan ini adalah beban besar kepada sesetengah keluarga,” katanya.

Katanya peringatan dalam pekeliling tersebut juga adalah untuk makluman kepada ibu bapa kerana terdapat sesetengah ibu bapa yang mahu anak mereka dibekalkan dengan buku kerja yang banyak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast