Tan Sri Dr Mohd Yusof Nor (kiri).

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu dan Jawatankuasa Induk Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS) telah mengarahkan semua ketua-ketua kluster jawatankuasa itu segera menggerakkan peranan masing-masing.

Ia perlu bagi memastikan kejayaan penubuhan JKMMS, kata pengerusinya, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor yang juga Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Menurut beliau, kluster-kluster terlibat ialah Kluster Pengharmonian antara Undang-Undang Sivil dan Undang-Undang Syariah dipengerusikan pensyarah UIAM, Prof. Dr. Engku Rabiah Adawiah, Kluster Cadangan Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dipengerusikan oleh seorang lagi pensyarah UIAM, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Ab. Aziz dan Kluster Pengurusan dan Penstrukturan Mahkamah Syariah dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar.

Bagi Kluster Latihan Hakim dan Pegawai Syariah dipengerusikan Ketua Pendaftar, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Mohamad Shakir Abdul Hamid.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 4 Ogos 2017 telah bersetuju menubuhkan JKMMS yang bertujuan untuk meningkatkan dan memartabatkan sistem perundangan syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan.

Justeru, Yusuf berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa itu telah diadakan semalam di Kompleks Islam Putrajaya yang dipengerusikan olehnya.

“Pada umumnya, mesyuarat jawatankuasa ini membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan pemerkasaan Mahkamah Syariah berdasarkan kepada kluster-kluster yang telah ditentukan,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette