KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memuat naik tweet pertamanya semalam melalui akaun twitter rasminya yang menggunakan nama Mohamad Fuzi Harun @Fuzi_Harun.

Mohamad Fuzi Harun

Mohamad Fuzi memuat naik beberapa gambar dengan catatan “Semangat @HariSukanNegara bersama warga @PDRMsia dan masyarakat Lambor Kanan, Bota, Perak”.

Beliau kemudian turut memuat naik gambar lawatannya ke Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama di Perak.

“Alhamdulillah, berkesempatan meraikan para pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Masjid Lama dalam Sambutan @HariSukanNegara di Perak tadi” katanya dalam catatan twitter tersebut.

Mohamad Fuzi mengambil alih jawatan Ketua Polis Negara menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara wajib pada 4 September lalu.

Mohamad Fuzi, 58, menyertai pasukan beruniform itu pada 8 Januari 1984 sebagai kadet ASP di Pulapol.

Antara jawatan penting yang pernah disandang beliau ialah Penolong Pengarah Inteligen Politik E4 Cawangan Khas Bukit Aman, Penolong Pengarah Cawangan Khas (Bahagian Politik dan Risikan) yang memangku pangkat SAC I pada 2006 dan Pengarah Cawangan Khas pada Julai 2015. — Bernama