Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) melambai tangan ketika hadir pada Malam Gala 'Varsity Entrepreneurship Skills And Talens' (VEST) diiringi Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi. foto FAREEZ FADZIL, 15 OKTOBER 2017

BANGI – Golongan mahasiswa disaran agar tidak meletakkan kebergantungan untuk mendapatkan kerja makan gaji selepas tamat pengajian di universiti.

Sebaliknya, mereka perlu berfikiran kritis untuk menjadi seorang usahawan kerana bidang itu lebih menjanjikan masa depan yang lebih cerah, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Saya tak mahu bila pelajar keluar universiti dalam kepala mereka fikir nak makan gaji.

“Kita mesti mengajar diri kita memilih bidang keusahawanan yang boleh menjanjikan masa depan yang lebih bermakna,” katanya ketika sesi Bicara Santai bersama Perdana Menteri pada Malam Gala Varsity Entrepreneurs Skills and Talent (VEST) 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini malam tadi.

Perdana Menteri berkata, keusahawanan bukan sahaja merupakan satu bidang yang menjanjikan kekayaan kepada individu malah ia juga merupakan pemangkin kepada kekayaan negara.

Najib turut memberitahu, golongan usahawan dalam kalangan mahasiswa yang akan melalui proses Transformasi Nasional (TN50) perlu menggunakan kaedah bisnes secara Online atau e-Commerce agar perniagaan yang dijalankan akan berkembang secara global.

VEST merupakan satu insiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bersama Perbadanan Nasional Nerhad (PNS) yang menerapkan budaya keusahawanan sebagai kerjaya pilihan.

Program tersebut yang mendapat penyertaan hampir 1,000 peserta daripada lebih 20 institusi Pengajian Tinggi Awam (IPT) awam dan swasta berlangsung selama enam bulan bermula sejak Mei lalu.

Menerusi pertandingan yang diadakan peserta dari Universiti Teknologi Petronas (UTP) dinobatkan sebagai juara manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) berada di tempat kedua dan Universiti Kebangsaan Malaysia di tangga yang ketiga.

Kumpulan yang menjadi juara membawa pulang wang tunai sebanyak RM25,000, manakala tempat kedua RM15,000 dan ditangga ketiga membawa pulang wang tunai RM10,000. – MalaysiaGazette