Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Himpunan Rakyat Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi di Padang Timur, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 14 OKTOBER 2017.

PETALING JAYA – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr. Mahathir Mohamad memulakan kempen pembangkang dengan menabur janji kepada rakyat sempena Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) akan datang.

Mahathir dalam ucapan penutup ‘Himpunan Rakyat Sayangi Malaysia Hapuskan Kleptokrasi’ berkata, kerajaan PH akan membela nasib penjawat-penjawat awam yang dianiaya kerana menyokong pembangkang.

“Jangan rasa takut kalau mereka rampas harta apabila kami menang kami akan kembalikan harta yang dirampas oleh kerajaan.

“Berdiri tegak dan berkata benar, kita teruskan juga dengan perhimpunan kita dan lihat tidak ada masalah dan rusuhan,” katanya peserta himpunan di Padang Timur malam tadi.

Turut memberikan ucapan antaranya, Presiden PH, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Jelas Mahathir, sekiranya PH menang dalam PRU-14 akan datang, maka nasib kesemua kakitangan awam yang dikenakan tindakan kerana menyokong pembangkang akan dibela malah jawatan mereka akan dikembalikan.

“Kita tidak boleh terima kerajaan masa ini bahkan ada kakitangan kerajaan yang perlu disingkir oleh kita. Kita sedar ramai yang tertekan maka mereka terpaksa sokong kerajaan.

“Kami berjanji apabila kami menang dan tetap menang di PRU14 mereka yang telah dianiaya oleh (Datuk Seri) Najib kami akan ganti segala kehilangan mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, himpunan anjuran PH ini gagal mencapai sasaran awal 100,000 peserta biar pun dengan kehadiran Mahathir.

Sejak himpunan bermula, jumlah peserta yang hadir dalam himpunan itu hambar.

Jumlah peserta pada mulanya hanya dicatatkan sekitar 5,000 biar pun himpunan sudah bermula jam 4 petang.

Bagaimanapun, jumlah itu tidak begitu memberangsangkan apabila hanya mencatatkan sejumlah 8,000 di akhir himpunan berkenaan. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast