Azih Muda

KUALA LUMPUR – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut elaun bandar raya dan rebat pengangkutan awam dalam 11 tuntutan untuk dipertimbangkan kerajaan dalam Bajet 2018.

Elaun bandar raya sebanyak RM300 sebulan dicadangkan dibayar kepada penjawat awam yang berstatus miskin bandar dan menetap di bandar raya.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, elaun bandar raya itu adalah releven dengan kesukaran penjawat awam yang bergaji rendah dalam menghadapi kenaikan sara hidup yang semakin mendesak.

Katanya, semakan sama juga perlu dibuat bagi elaun wilayah dan elaun perumahan wilayah bagi penjawat awam di Sabah dan Sarawak yang bekerja di pedalaman.

Selain itu, CUEPACS juga mencadangkan rebat pengangkutan bagi mengalakkan mereka menggunakan pengangkutan awam untuk mengurangkan perbelanjaan dan masa pergi balik ke tempat kerja.

Bercakap pada sidang akhbar di sini, Azih menaruh harapan agar kerajaan memberi pertimbangan bonus setengah bulan gaji.

“Selama tujuh tahun ini kerajaan hanya beri bantuan kewangan khas sebanyak RM500 sahaja. Untuk kali ini kita berharap kerajaan beri setengah bulan sahaja.

“Saya sudah serahkan tuntutan ini kepada Perdana Menteri pada Ogos lalu dan berharap Datuk Seri Najib memberi pertimbangan serius,” tambah beliau.

Selain itu, CUEPACS turut mencadangkan kenaikan pelepasan cukai bagi beberapa kategori bagi mengurangkan beban rakyat,

Cadangan itu ialah menaikkan braket cukai individu dari RM9,000 kepada RM18,000), isteri/suami RM4,000 kepada RM9,000, pelepasan cukai anak dari usia 18 tahun kepada 21 tahun dengan kadar dinaikkan daripada RM2,000 kepada RM4,000.

Pelepasan cukai bagi anak belum berkahwin dan masih belajar ditambah kepada RM12,000 berbanding RM8,000 sekarang serta perubatan ibu bapa kepada RM9,000.

Azih berkata, tuntutan lain termasuk meningkatkan pembinaan rumah berharga antara RM90,000 hingga RM150,000 dan mengurangkan kadar faedah pinjaman Lembaga Pinjaman Perumahan Sektor Awam (LPPSA) kepada satu peratus berbanding empat peratus sekarang.

“Masih ramai penjawat awam yang tidak memiliki kediaman sendiri disebabkan tidak mampu.

“Ikut kajian kita, sebanyak 100 peratus daripada 30,000 penjawat awam yang baharu setiap tahun tidak memiliki rumah.

“Sudah lima tahun bekerja pun tidak mampu beli. Lebih mendukacitakan hampir 70 peratus kakitangan awam yang berumur 50 tahun pun tidak memiliki rumah sendiri,” ujarnya. – MalaysiaGazette