Home Sukan Penjaga gol maut selepas ‘bertembung’ di padang

Penjaga gol maut selepas ‘bertembung’ di padang

Choirul Huda

JAKARTA – Penjaga gol Kelab Persela, Indonesia meninggal dunia ketika beraksi dalam perlawanan bola sepak semalam.

Choirul Huda, 38, dikejarkan ke hospital pada hari Ahad tetapi disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba, kata doktor.

Huda tiba-tiba rebah selepas berlanggar dengan pemain pasukannya, Ramon Rodrigues ketika berusaha menyelamatkan bola.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di laman web kelab Persela FC – Dr Yudistiro Andri Nugroho berkata, Huda mengalami “kesan pada dada dan rahang bawah”.

Beliau menambah, diagnos awal mencadangkan kemungkinan beliau mengalami trauma di bahagian kepala dan leher.

Dr Nugroho, dari Hospital Dr Soegiri Lamongan di Lamongan, Jawa Timur berkata, perlanggaran itu mengakibatkan nafas mangsa terhenti dan serangan jantung.

Beliau berkata, pasukan perubatan cuba untuk memulihkannya sejurus kejadian itu tetapi selepas sejam tidak ada tanda-tanda kembali normal.

Perlawanan bola sepak yang diteruskan itu menyaksikan Persela berjaya membenam Semen Padang dengan 2-0. – MalaysiaGazette