KUALA LUMPUR – Satu persatu langkah dihayun oleh sosok tinggi lampai dan berotot kekar, Sazrin Aizul Zailani atau nama komersialnya, Sazrin Aizul di hamparan pentas peragaan tidak dinafikan cukup memukau tumpuan mata memandang.

Dengan ekspresi wajah penuh berkarakter, maka tidak hairan anak jati Kuala Lumpur itu menjadi dambaan klien label mewah internasional seperti Gucci, Canali, Dolce & Gabanna, Vertu, Quiksilver, Adidas, Levi’s dan banyak lagi yang mendapatkan khidmatnya sejak tahun 2005.

Begitupun, bakat natural Sazrin yang dilahirkan pada 7 Februari itu tidak tertumpah sebagai peragawan semata. Dia terus melebarkan sayap dengan memancing tuah sebagai penghias skrin televisyen tempatan sebagai pelakon bermula tahun 2014.

Epilog Cinta Khirana; drama pertama yang dibintangi olehnya garapan Azmi Hatta di bawah terbitan Zeel Production Sdn. Bhd. bersama pelakon hebat seperti Nazim Othman, Tasha Shila, Aliff Aziz dan Raja Ema bersiaran di slot Samarinda di stesen TV3.

Berambisi tinggi dan terus berkeinginan untuk melampiaskan bakat seni, Sazrin yang merupakan mantan graduan Perakaunan dari Kolej Politech MARA itu tekad membulat hati bagi bergelar penyanyi sekali gus berkongsi vokal indahnya buat halwa telinga khalayak.

Menyertai SukaSucre Creatives (SSC) di bawah kendalian Datuk Fazley Yaakob pada tahun 2012, dia kini muncul dengan produk pertama di bawah syarikat pengurusan bakat tersebut yang berjudul, Saat Dan Ketika beritma balada pop hasil ciptaan kolaborasi penuh Sirkhan dan Karnaen.

Umum mengetahui, Sirkhan pernah membikin beberapa lagu hit antaranya adalah Terakhir serta Harus Aku dendangan penyanyi popular, Sufian Suhaimi, Tergantung Sepi serta Segalanya (Haqiem Rusli) dan Menahan Rindu (Wany Hasrita).

Menurut Sazrin yang semakin dikenali usai penyiaran drama rantaian, Miss Kapten Cikgu Waiz di slot Lestary di TV3, proses rakaman single ini dilakukan di Studio Dapour Rekaman di Taman Tun Dr. Ismail, Petaling Jaya pada 21 Julai lalu berjalan lancar selama dua hari tanpa berdepan kesulitan.

“Alhamdulillah, proses merekod Saat Dan Ketika berlangsung dengan jayanya beberapa bulan lalu. Menariknya, ia hanya mengambil tempoh dua hari termasuk merakam dan penambahbaikan terhadap lagu itu agar menjadi karya berkualiti sekali gus menepati citarasa pendengar.

“Mengulas lebih lanjut, single ini memperlihatkan perbezaan mutu suara saya kerana sudah menanam impian dalam diri bagi mengenengahkan vokal yang dimiliki kepada peminat di luar sana,” jelasnya yang bakal menjalani penggambaran muzik video Saat Dan Ketika sebelum penamat Oktober ini.

Saat Dan Ketika mengikut pemahaman si pelantunnya, ia merupakan sebuah naskhah berkisar seorang lelaki yang menempuh pelbagai rintangan di jalan depannya sebelum tercapai hasrat bagi mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihan hati.

“Dan apabila sudah berkahwin, si lelaki itu merasakan yang wanita dikahwininya adalah satu tanggungjawab cukup bermakna buat empunya diri. Saat dan ketika mengangkat tinggi momen selepas mereka berkahwin,” santun terang Sazrin yang selesa membahasakan diri sebagai Rin kala meluah perbualan bersama orang sekeliling.

Sebelum menoktah kata, dia sempat berkongsi ekspektasi terhadap single ini; “Saya berharap agar Saat Dan Ketika bakal menerima respons yang baik daripada pendengar dan terutama pelbagai stesen radio di negara ini. Sejujurnya, saya meletakkan harapan cukup tinggi dalam bidang nyanyian kerana ia menjadi minat sejak kecil lagi.

“Tidak hanya itu, saya berdoa agar apa saja karya yang dikeluarkan selepas ini akan menerima sokongan membanggakan daripada semua sepanjang saya bergiat dalam industri ini.”

Boleh dirumuskan, ini adalah kali pertama seumpamanya seorang model melibatkan diri dalam lapangan seni suara tanah air. Ia bertepatan dengan visi total Sazrin – ingin bergelar versatil.

Bagi peminat yang ingin mengenali atau mengetahui perkembangan aktiviti semasa Sazrin, boleh mengikuti di laman Instagram dengan akaun @SazrinAizul, Facebook (@Sazrin Aizul) dan Twitter (@SazrinAizul).

Untuk mendengarkan lagu ini, peminat boleh melayari lirik video Saat Dan Ketika di laman YouTube rasmi SukaSucre Creatives menerusi pautan ini; http://bit.ly/sazrinsdklyricvideo .

Untuk sebarang pertanyaan atau informasi lanjut mengenai single ini, boleh menghubungi Faizal Saharuni di talian 012 978 7843 atau emel di [email protected] MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast