Wan Zulkiflee Wan Ariffin

KUALA LUMPUR – Industri gas cecair asli (LNG) akan menjadi tidak stabil jika harga tidak menggalakkan pelaburan yang diperlukan untuk mengekalkan perniagaan meskipun permintaan terhadap komoditi itu telah berkembang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin berkata, banyak peserta dalam indusri itu membatal dan menangguhkan projek disebabkan faktor harga LNG.

Menurutnya, tanpa pelaburan yang mencukupi, kedua-dua pembeli dan penjual akan menghadapi masa depan yang tidak menentu daripada segi kelestaran perniagaan dan keselamatan tenaga.

Beliau berucap demikian di Persidangan Pengguna-Pengeluar LNG 2017 di Tokyo.

Petronas kini merupakan pengeluar LNG terbesar ketiga di dunia.

Harga bahan api itu menyusut lebih dua pertiga sejak Mei 2014 dan kejatuhan itu berlarutan.

Tambahnya, Petronas juga tidak meneruskan projek LNG di Kanada berikutan tekanan harga yang berpanjangan dan keadaan pasaran yang tidak menguntungkan.

Namun beliau mengakui pasaran dinamik itu merangsang penambahbaikan kecekapan dalaman bagi memastikan Petronas lebih tangkas sebagai peserta LNG.

Beliau turut menyeru pengeluar dan pengguna LNG untuk bekerjasama menggalakkan pertumbuhan dan kemampanan industri, berusaha ke arah keadaan pasaran yang saling menggalakkan bagi menggalakkan jangka hayat pelaburan dan kestabilan bekalan jangka panjang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast