Home Dunia Wanita seberat 150kg duduk di atas kanak-kanak hingga mati

Wanita seberat 150kg duduk di atas kanak-kanak hingga mati

Veronica Posey

FLORIDA – Seorang wanita Florida yang seberat 325 pound (150 kilogram) didakwa membunuh sepupunya berusia 9 tahun dengan duduk di atas kanak-kanak itu sebagai hukuman.

Veronica Green Posey, 64, ditangkap dan didakwa kerana melakukan pembunuhan dan kekejaman terhadap kanak-kanak itu, lapor The Pensacola News.

Paramedik dilaporkan tiba di kediaman keluarga itu selepas menerima panggilan 911 pada hari Sabtu lalu.

Posey memaklumkan yang dia telah duduk di atas mangsa, Dericka Lindsay selepas kanak-kanak itu tidak dapat dikawal.

Semasa menghukum kanak-kanak malang itu, Lindsay dikatakan tidak dapat bernafas.

Laporan penangkapan itu mendakwa Grace Joan Smith, 69, dan James Edmund Smith, didakwa melakukan kecuaian ke atas kanak-kanak.

Grace dikatakan telah memanggil Posey, yang merupakan anak saudaranya bagi mendisplinkan mangsa.

Dia memberitahu penyiasat, Posey telah memukul Lindsay dengan pembaris dan paip keluli sebelum kanak-kanak itu lari ke arah kerusi.

James pula berkata, Posey duduk di atas kanak-kanak itu selama 10 minit sebelum mangsa memaklumkan sukar bernafas.

Mike Carroll, Setiausaha Jabatan Florida Kanak-kanak dan Keluarga menyifatkan kematian kanak-kanak itu mengerikan.

Beliau berkata, agensi itu akan bekerjasama dengan polis untuk mendakwa pihak yang menyebabkan kematian kanak-kanak tersebut.

Posey dibenarkan diikat jamin sebanyak AS$125,000. Pasangan suami isteri, Grace dan James kekal di penjara, dengan bon Grace ditetapkan pada AS$75,000 dan James AS$50,000. – MalaysiaGazette