Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (dua kanan) bersama Ketua Perangkawan Malaysia, Dr. Mohd Uzir Mahidin (dua kiri) melakukan gimik pelancaran sempena Sambutan Hari Statistik Negara (MyStats Day) 2017 di Pusat PERMATAPintar Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 20 OKTOBER 2017.

BANGI- Jabatan Statistik Malaysia telah mengumpul banyak maklumat mengenai kos sara hidup di negara ini bagaimanapun terdapat beberapa perkara yang masih tidak diketengahkan kepada umum.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Mohd. Uzir Mahidin, antara data yang masih belum dikongsi itu meliputi purata harga barang, harga sewa rumah setiap kawasan dan kos sara hidup setiap keluarga.

“Apa yang dikatakan oleh Majlis Profesor Negara itu adalah bagaimana indeks harga pengguna (IHP) hanya menghimpunkan data-data purata harga barang dan ianya berbeza dengan kos sara hidup.

“IHP memang bukan mengukur kos sara hidup bagaimanapun kami sudah mempunyai data-data tersebut dan sedang memikirkan cara untuk mengetengahkannya,” katanya semasa sidang media selepas pengisytiharan dan sambutan Hari Statistik Negara 2017 di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Uzir mengulas mengenai saranan Majlis Profesor Negara yang mencadangkan supaya sebuah indikator kos sara hidup diwujudkan bagi melengkapi IHP yang ketika ini tidak mencerminkan situasi sebenar kos sara hidup di Malaysia.

Data-data tersebut boleh digunakan oleh kerajaan dan pihak berkenaan di dalam merangka dasar serta mencari jalan penyelesaian terbaik supaya kesan peningkatan kos sara hidup dapat dikurangkan.

Terdahulu, Abdul Rahman dalam ucapannya meminta supaya kesemua kementerian dan agensi berkaitan supaya berkongsi data statistik yang diperoleh mereka dengan Jabatan Statistik Malaysia.

Ini bagi memudahkan semua pihak termasuk orang awam untuk mengetahui statistik sesuatu perkara dan boleh digunakan di dalam perdebatan atau perbahasan.

Bagaimanapun, perkongsian tersebut tidak melibatkan data-data berkaitan keselamatan negara dan maklumat peribadi individu.-MalaysiaGazette