BALING – Keadaan semasa mahasiswa hari ini yang tidak peka dengan keadaan persekitaran mereka menjadikan isu-isu seperti penoreh getah gagal diperjuangkan berbanding dengan mahasiswa yang turun berdemonstrasi pada tahun 1974.

Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi dan Pembiayaan Islam, Kulliyyah Muamalat, Kolej Universiti Insaniah, Dr. Yusuf Othman berkata, mahasiswa pada waktu itu merupakan pelopor dalam menuntut kenaikan harga getah melalui demonstrasi.

Justeru, menurutnya, sekiranya mahasiswa kembali memainkan peranan dalam isu-isu rakyat di sekitar mereka, demonstrasi besar-besaran seperti tahun 1974, tidak mustahil berulang.

“Gerakan mahasiswa zaman itu kuat, mereka disertai tokoh-tokoh berwibawa. Tetapi demontrasi tahun 1974 sukar berlaku kerana keadaan mahasiswa hari ini.

“Saya lihat mahasiswa hari ini tidak peduli, tidak prihatin dan tidak ambil pusing terhadap masalah masyarakat,” katanya memetik laporan SinarOnline semalam.

Tambahnya, pelaksanaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 juga menjadi faktor gerakan-gerakan mahasiswa di negara ini menjadi lemah.

“Akta ini menyekat mahasiswa. Mereka dikenakan tindakan apabila bersuara,” katanya.

Demontrasi Baling, pada tahun 1974 menyaksikan penglibatan lebih kurang 10,000 mahasiswa yang terdiri daripada Universiti Malaya dan universiti lain, bersama ribuan petani turun ke jalan-jalan utama bagi menuntut kerajaan menaikkan harga getah.

Demontrasi itu bagamanapun berakhir dengan penangkapan 2,000 mahasiswa dan ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Tahun lalu, beberapa siri demontrasi menuntut perkara sama, digerakan badan bukan kerajaan termasuk parti politik di Baling namun gagal mengulangi sejarah demontrasi 1974.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast