Ibu, Normah Yusof, (kiri) memeluk erat anak Nurul Farhana (kanan) serta cucunya Askara Alfatih Ali (tengah) sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), Sepang selepas 2 tahun melarikan diri bersama seorang warga Indonesia. foto HAZROL ZAINAL, 20 OKTOBER 2017.

SEPANG – Seramai 20 ahli keluarga Nurul Farhana Ahmad yang menghilangkan diri dua tahun lalu masih bingung memikirkan bagaimana anak keempat daripada lima adik beradik itu berada di Medan, Indonesia.

Menurut Normah Yusof, 51, ibu kepada Nurul Farhana berkata, beliau bagaimanapun gembira anaknya itu akhirnya pulang ke pangkuan keluarga setelah hilang tanpa berita selama dua tahun.

“Saya tidak tahu bagaimana dia boleh hilang dan pergi ke Indonesia. Baru-baru ini dia ada telefon saya, bagitahu dia nak pulang.

“Saya bagitahu dia, bagaimana nak nak tolong, mak pun tidak ada duit. Kosnya tinggi. Makcik cuba mohon pertolongan dengan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman,” katanya ketika ditemui media di pintu keluar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) petang tadi.

Kedua-dua beranak itu akhirnya dipertemukan jam 4 petang setelah Nurul Farhana dibawa keluar bersama-sama Budiman.

Nurul Farhana turut dilihat membawa pulang seorang anak lelaki berusia setahun lebih.

Tambah Normah, anaknya ada menghubunginya sebulan lalu dengan berkata beliau mahu pulang ke tanahair.

“Mujur dia simpan lagi nombor makcik. Dia baru sahaja hubungi saya, jadi saya tidak mahu tanya apa-apa lagi. Biar dia balik Malaysia dulu. Nanti dia takut nak balik.

“Mak cik dah tahu dia bawa balik seorang anak. Kita nak buat macam mana. Sudah takdir keluarga saya, mak cik terima ketentuan takdir,” katanya sambil menitiskan air mata. -MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast