Teh Yee Cheu
PULAU PINANG – Walaupun menerima bantahan keras sebelum projek dimulakan, namun Majlis Perbandaran Pulau Pinang didakwa tetap meluluskan pembinaan rumah di kawasan tanah runtuh yang menyebabkan sekurang-kurangnya 14 orang maut dan hilang tertimbus.
Dua tahun yang lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu yang terkenal sebagai aktivis alam sekitar pernah mengancam mahu mogok lapar untuk membantah projek tersebut.
Namun begitu, bantahan beliau dan penduduk di kawasan berhampiran tidak diendahkan oleh pihak berkuasa.
Sekiranya amaran awal Yee Cheu diterima, mungkin tragedi maut itu dapat dielakkan.
Walaupun tindakan tegas diambil kerajaan negeri termasuk janji ketua menteri untuk menyiasat kejadian itu selepas tragedi berlaku, namun nyawa yang terkorban secara sia-sia tidak dapat dipulangkan.
Yee Cheu yang telah meninggalkan DAP mengesahkan dengan Sinchew Daily bahawa beliau pernah membantah sekeras-kerasnya projek pembinaan itu, tetapi bantahannya tidak dipandang berat Majlis Perbandaran Pulau Pinang.
“Dua tahun yang lalu saya pernah menyatakan mahu berbogel dan mogok lapar untuk membantah projek ini.
“Sekarang tragedi telah berlaku, saya mahu pegawai Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang berkaitan supaya berlapar, berbogel dan meminta maaf.
“Pihak berkenaan harus lebih berwaspada dalam memeriksa semua projek di kawasan bukit,” katanya ketika ditemui Sinchew Daily.
Akhbar itu pada 13 April 2015 melaporkan Yee Cheu dalam satu sidang akhbar membantah sekeras-kerasnya projek itu yang kini bertukar tragedi.
Dalam sidang akhbar tersebut, Yee Chew dilaporkan kesal kerana tidak mampu berbuat apa-apa sebagai ADUN.
Yee Cheu pada masa itu dipetik berkata, “takkan nak sampai saya mogok lapar dan berbogel supaya kerajaan negeri, Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan pemaju mendengar suara saya.” – MalaysiaGazette