KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon Ezlynn atau nama sebenarnya Azline Ariffin, 36,bercerai dengan talak satu dengan suaminya Adam Fahmy di Mahakamah Rendah Syariah di sini.

Adam, 38 bersetuju melafazkan talak terhadap isterinya selepas bersetuju menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka yang berlarutan sejak awal tahun secara baik.

Lafaz dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Noorbyetty Nasir kira-kira jam 10.30 pagi tadi.

Terdahulu Noorbyetty menyuruh Adam dan Ezlynn bersalaman sekaligus bermaaf-maafan buat kali terakhir.

Ezlynn bertindak memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) Kuala Lumpur pada 7 April lalu.

Pasangan artis dan pengurus ini mendirikan rumahtangga pada 21 November 2011 dan belum menimang cahaya mata.

Ezlynn sebelum ini mendakwa suaminya bertindak menceroboh rumahnya dan melarikan barangan berharga.

Adam bagaimanapun menyangkal dakwaan Ezlynn dan memberitahu rumah itu adalah kediaman milik mereka bersama.

Sejurus selepas sidang itu, Adam membuat sidang media di luar kamar mahkamah dan memberitahu akan memfailkan nusyuz kepada bekas isterinya.

Dia mengambil keputusan itu bagi membuktikan kepada mahkamah bahawa bekas isterinya telah melempar fitnah kepada dirinya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Hi Hi Bye Bye itu juga ingkar untuk kembali taat walaupun dia telah menyerahkan surat tuntutan berbuat demikian pada 15 Ogos lalu.

Sementara itu, Ezlynn yang diminta mengulas tentang perkara itu memberitahu, Adam berhak berbuat demikian.

“Suka hati dia. Dia boleh cakap apa sahaja dan kita tengok sahaja nanti,

“Apa-apa pun saya tenang dan lega, Alhamdulillah Allah permudahkan urusan saya hari ini,” kata pelakon filem Diva Popular. – Malaysia Gazette