SHAH ALAM – Sebanyak 30,750 keping tiket termasuk 750 keping untuk golongan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun, diagihkan sama rata kepada pasukan Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk aksi final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam pada 4 Nov ini.

Ketua Unit Pertandingan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, tiket berkenaan akan mula dijual pada 9 pagi di kaunter Stadium Darul Aman, Alor Setar dan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 1 Nov ini, dengan kadar RM50 sekeping bagi dewasa dan RM5 sekeping bagi kanak-kanak.

Beliau turut memaklumkan sejumlah 10,500 keping tiket termasuk 500 keping tiket untuk golongan kanak-kanak akan dijual secara dalam talian di laman sesawang www.tickethotline.com.my pada 30 Okt ini bermula 9 pagi.

“Pada mesyuarat pertama hari ini, kita turut menjemput kelab penyokong Kedah dan JDT membincangkan proses pengagihan tiket dengan telus bagi mengelakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong kedua-dua pasukan untuk mendapatkan tiket bagi memberikan sokongan kepada pasukan masing-masing pada 4 Nov ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Final Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, hari ini.

Beliau pada masa turut memaklumkan, buat julung kalinya FMLLP yang merupakan pentadbir Liga Malaysia, bekerjasama dengan MPI Generali Insurans Berhad dengan kesemua pembeli tiket serta para undangan yang menyaksikan final Piala Malaysia, mempunyai perlindungan insurans.- BERNAMA