KUALA LUMPUR – Projek Perumahan Tetuan Taman Sri Bunga, Lembah Permai di Tanjong Bunga, Pulau Pinang yang terlibat dengan kemalangan tanah runtuh Sabtu lalu diluluskan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Bagaimanapun, kelulusan itu dibuat setelah membuat pertimbangan pendapat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) yang kedua-duanya di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Dalam satu kenyataan media hari ini, Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, meskipun JAS tidak menyokong projek tersebut kerana tidak memenuhi keperluan zon penampan yang ditetapkan di bawah “Guidelines For Siting and Zoning of Industry And Residential Areas” namun tiada halangan daripada pihak JMG dalam ulasannya pada 30hb Disember 2014 kepada permohonan ini dengan memenuhi syarat-syarat teknikal.
Justeru, projek tersebut diteruskan setelah menimbang ulasan ulasan dari semua jabatan dalaman dan luaran termasuk JAS dan JMG.
“Dalam menimbang mana-mana permohonan merancang pembangunan, MBPP adalah pihak yang wajib untuk meluluskan atau menolaknya. Dalam proses pertimbangan, ulasan-ulasan daripada jabatan-jabatan dalaman dan jabatan-jabatan luaran diperolehi MBPP.
“Dalam hal ini, JAS adalah salah satu daripada jabatan luaran yang telah memberi ulasan yang tidak menyokong kerana tidak memenuhi keperluan zon penampan yang ditetapkan di bawah “Guidelines For Siting and Zoning of Industry And Residential Areas”
“Projek perumahan Tetuan Taman Sri Bunga ini, satu lagi jabatan luaran ia itu Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Pejabat Kedah/Perlis/Pulau Pinang telah memberi ulasan tiada halangan pada 30hb Disember 2014 kepada permohonan ini dengan syarat-syarat teknikal untuk dipenuhi.”
MalaysiaGazette cuba menghubungi Chow Kon Yeow dengan panggilan telefon dan pesanan ringkas untuk mendapatkan maklum balas daripada beliau sama ada projek tersebut memenuhi atau tidak syarat-syarat teknikal seperti dalam ulasan JMG.
Bagaimanapun, sehingga kini, masih tiada sebarang respon daripada Kon Yeow.
Terdahulu, aktivis alam sekitar, Mohideen Abdul Kader menggesa agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menangai isu perundangan dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang yang didakwa tidak mematuhi garis panduan, undang-undang dalam pelaksanaan projek tersebut, terutama apabila terdapat bantahan daripada JAS.
Menurut Naib Naib Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang(CAP) dan Ahli Majlis Sahabat Alam Malaysia(SAM) itu, RCI tersebut mestilah dibuat secara menyeluruh untuk memastikan semua pihak berkuasa bertanggungjawab dipertanggungjawabkan termasuk pihak berkuasa kerajaan berkenaan daripada ketua menteri hinggalah MBPP, pemaju dan kontraktor bertanggungjawab.
Dalam perkembangan sama, pemimpin tinggi DAP, Lim Kit Siang yang sebelum ini dilihat lantang mengkritik dan mahu Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar meletak jawatan berikutan kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dilihat membisu ketika kemalangan yang melibatkan negeri di bawah pentadbiran partinya.-MalaysiaGazette