SPRM Jabatan Perangkaan
Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) telah menganjurkan bengkel Pengukuran Rasuah melalui Kaedah Berasaskan Bukti bersama Jabatan Perangkaan dengan input pakar dari Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) di sini baru-baru ini.- Gambar hiasan.
SHAH ALAM – Seorang bekas kakitangan pejabat Menteri Besar Selangor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa dalam pemberian projek membekal cenderahati ke pejabat Menteri Besar Selangor pada 2016.

Menurut sumber SPRM, suspek berusia 38 tahun yang merupakan bekas pembantu tadbir di pejabat berkenaan ditahan kira-kira pukul 12.30 tengahari tadi di pejabatnya.

Turut ditahan seorang pemilik syarikat pembekalan cenderahati berusia 59 tahun dan isterinya yang berusia 52 tahun, kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Sumber itu berkata, bekas kakitangan pejabat Menteri Besar terbabit disyaki telah menerima wang rasuah sebanyak RM16,566 daripada pemilik syarikat pembekalan cenderahati itu tahun lepas, sebagai balasan mengesyorkan syarikat tersebut sebagai pembekal cenderahati kepada pejabat berkenaan.

“Isteri pemilik syarikat pembekalan cenderahati itu pula ditahan kerana dipercayai bersekongkol dengan kedua-dua suspek,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Wan Ramli Wan Abdullah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kesemua suspek akan direman di Mahkamah Majistret di sini esok.

— BERNAMA