I

KUALA LUMPUR – Isu keselamatan pusat tahfiz seluruh negara masih berada pada tahap tidak memuaskan apabila hasil pemeriksaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapati hanya sembilan peratus daripada 1,238 pusat tahfiz seluruh negara memiliki alat pengesan asap.

Menteri Ke­sejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, jumlah itu terlalu kecil memandangkan alat pengesan asap penting dimana ia akan memberi amaran awal sekiranya berlaku kebakaran di dalam sesebuah bangunan.

“Jumlah alat pengesan asap yang dipasang ini masih terlalu kecil dalam pusat-pusat tahfiz apabila hanya sembilan peratus sahaja memiliki alat ini,” kata Noh semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Untuk tempoh 25 September sehingga 17 Oktober, hasil semakan JBPM mendapati 910 pusat tahfiz yang berdaftar sementara 328 lagi tidak berdaftar.

Dalam pada itu, Noh juga memberitahu, hanya 80 sahaja pusat tahfiz di negara ini yang mendapat kelulusan bangunan daripada JBPM.

Menurutnya lagi, daripada 1,238 pusat tahfiz yang ada di negara ini, hanya 986 sahaja yang mematuhi piawaian keselamatan kebakaran.

“Bagi meningkatkan aspek pencegahan kebakaran di sekolah tahfiz, kerajaan telah mengarahkan JBPM untuk menjalankan pemeriksaan di semua sekolah tahfiz di seluruh negara. JBPM telah menjalankan pemeriksaan ke atas 1,238 pusat tahfiz.

“Hasil daripada pemeriksaan yang dibuat, kita dapati bahawa pusat tahfiz yang mematuhi piawaian keselamatan kebakaran hanya 986 sahaja. Di mana terdiri dari 748 tahfiz yang berdaftar dan 238 tahfiz yang tidak berdaftar.

“(Sementara) Bilangan pusat tahfiz yang mendapat kelulusan bangunan daripada JBPM hanya 80 sahaja iaitu 73 tahfiz yang berdaftar dan tujuh yang tidak berdaftar,” katanya lagi.

Susulan daripada itu katanya, notis menghapuskan bahaya kebakaran telah dikeluarkan yang melibatkan 83 pusat tahfiz, kata Noh.

“Dalam notis tersebut kita berikan tempoh pematuhan daripada 90 hingga 160 hari untuk pastikan mereka memenuhi arahan yang kita beri,” katanya. – MalaysiaGazette