Suasana di tapak binaan di mana berlakunya kejadian tanah runtuh menyebabkan 11 buruh binaan tertimbus.

PULAU PINANG – Kerajaan DAP Pulau Pinang memberi tempoh seminggu kepada pemaju projek di tapak tragedi tanah runtuh Tanjung Bungah di sini untuk menyelesaikan semua isu berbangkit dengan pembeli.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pemaju projek, Taman Sri Bunga Sdn. Bhd. perlu bertemu dan berbincang dengan pembeli unit rumah mampu milik berkenaan bagi menerangkan situasi semasa berhubung projek tersebut selepas insiden berkenaan.

Ujar beliau, sekiranya perkara tersebut gagal diselesaikan, Kerajaan DAP Pulau Pinang akan campur tangan mewakili pihak pembeli.

Dalam pada itu, beliau berharap Suruhanjaya Siasatan Pulau Pinang yang ditubuhkan bagi menyiasat tragedi tanah runtuh tersebut  dapat mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.

“Suruhanjaya ini juga diharap dapat mengheret pihak yang bertanggungjawab dan dikenakan hukuman sebagai keadilan kepada mangsa yang terkorban,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Guan Eng berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat tragedi tersebut memandangkan laporan polis sudah dibuat oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Dalam kejadian pagi Sabtu lalu, seramai 11 pekerja maut selepas tertimbus tanah runtuh ketika sedang bekerja di tapak projek pembinaan yang terletak berhampiran lereng bukit.

Ketika kejadian, mangsa yang terdiri daripada seorang rakyat tempatan dan 10 warga asing dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar itu sedang menyiapkan bahagian bawah tanah bagi pangsapuri setinggi 50 tingkat.

Mayat mereka ditemui selepas 48 jam usaha mencari dan menyelamat dilakukan. – MalaysiaGazette