Home #Bajet2018 Bayaran balik hutang isi rumah kekal teguh

Bayaran balik hutang isi rumah kekal teguh

KUALA LUMPUR – Kuala Lumpur- Pinjaman isi rumah bagi tujuh bulan pertama 2017 kekal stabil dengan permohonan meningkat secara ketara sebanyak 11.9 peratus kepada RM270.9 bilion
berbanding RM242.2 bilion tempoh sama tahun lalu.

Kelulusan dan pengeluaran pinjaman juga meningkat sebanyak 14.1 peratus dan 4.2 peratus kepada RM114.9 bilion dan RM169.3 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Laporan Ekonomi 2017/2018 menyebut, jumlah pinjaman terkumpul isi rumah meningkat 5.1 peratus atau RM883.8 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ia mewakili 57 peratus daripada jumlah pinjaman terkumpul dalam sistem perbankan.

“Kebanyakan pinjaman yang dikeluarkan kepada isi rumah adalah bagi penggunaan secara kredit dengan nilai RM79.1 bilion atau 46.7 peratus daripada jumlah keseluruhan pinjaman
isi rumah.

Ini diikuti oleh pinjaman untuk pembelian hartanah kediaman berjumlah RM44.3 bilion berbanding RM44.7 bilion tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Jumlah hutang isi rumah pada akhir Julai 2017 meningkat 5.1 peratus kepada RM1.11 trilion berbanding RM1.06 trilion tempoh sama tahun lalu disumbang terutamanya oleh peningkatan
8.8 peratus pinjaman bagi pembelian hartanah kediaman.

Sebahagian besar hutang isi rumah adalah untuk pemilikan harta dengan 63 peratus pinjaman bersandarkan aset hartanah dan pelaburan dengan prinsipal terjamin.

Menurut laporan tersebut, trend pertumbuhan hutang isi rumah yang sederhana disokong oleh pelaksanaan beberapa langkah berhemat yang diperkenal kerajaan sejak 2010 bagi mengekang pertambahan hutang isi rumah.

Secara keseluruhan, Laporan Ekonomi 2017/2018 mendapati, kapasiti bayaran balik hutang isi rumah kekal teguh pada tujuh bulan pertama 2017 disokong oleh pertumbuhan pendapatan
dan keadaan pasaran buruh yang stabil. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast