Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Sejumlah RM280.25 bilion diperuntukkan dalam Bajet 2018 dalam belanjawan yang bertemakan Memakmur Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi & Ukhrawi Demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat dan Menuju Aspirasi TN50.

Jumlah itu menyaksikan pertambahan peruntukan berbanding RM260.8 bilion pada Bajet 2017.

Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2018 di Parlimen berkata, jumlah pelaburan dalam negara dijangka meningkat 6.7 peratus atau menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun depan.

Lantaran itu, kerajaan akan terus menekankan pelaburan berimpak tinggi seperti petroleum, logistik, rel, automasi dan robotik serta industri berasaskan eksport.

Sumbangan pelaburan swasta terus mengatasi pelaburan awam dengan nisbah 70:30 manakala pelaburan swasta dijangka mencecah RM260 bilion pada 2018 berbanding RM81 bilion pada tahun 2009.

Pelaburan sektor awam dijangka mencecah RM109 bilion berbanding RM75 bilion pada tahun 2009, sejajar menjadikan sektor swasta sebagai enjin pertumbuhan.

Ini termasuk RM1 bilion kepada Lima Koridor Utama untuk membangunkan Wilayah Selatan Perak merangkumi Proton City, Educity dan Youth City, Tanjung Malim serta Zon Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam, pembinaan pelabuhan dan kawasan perindustrian Tok Bali, Kelantan serta jalan akses ke Empangan Baleh, Sarawak. – MalaysiaGazette