Pesawat B747-8i bagi laluan Incheon Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Korea Air, syarikat penerbangan Korea Selatan memulakan penerbangan Boeing 747-8 Intercontinental  bagi laluan Kuala Lumpur-Incheon mulai semalam.

Pesawat B747-8i itu merupakan pesawat pertama bagi jenisnya yang mendarat di Malaysia.

Kapal terbang 747-8i itu menampilkan reka bentuk sayap dan enjin terbaru bagi pesawat komersial yang besar dalam perkhidmatan hari ini.

Pesawat yang diilhamkan oleh Dreamliner itu merangkumi seni bina baru yang melengkung, memberi penumpang rasa lebih banyak ruang dan keselesaan.

Ia boleh membawa 368 orang penumpang dan mampu berada di udara untuk penerbangan sejauh 14,815 kilometer dengan penggunaan minyak yang menjimatkan berbanding keluarga 747 sebelumnya.

Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkata, operator lapangan terbang itu mengalu-alukan perkhidmatan pesawat berkenaan oleh Korea Air.

Katanya, Korea Air telah beroperasi di Malaysia sejak tahun 1984

Sementara itu, jurucakap Korea Air berkata, penerbangan harian Kuala Lumpur dan Incheon berlepas pukul 23.59 dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon 7.10 pagi keesokan harinya.

Penerbangan berlepas dari Incehon pula 16.50 dan tiba di Kuala Lumpur 22.25. – MalaysiaGazette