Home Politik Pas bengang Ambiga beri maklumat palsu

Pas bengang Ambiga beri maklumat palsu

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Pas tidak berpuas hati dengan tindakan bekas Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S Ambiga yang bersekongkol memberikan maklumat palsu berkaitan dana diterima parti itu kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, tindakan Ambiga itu amat mendukacitakan dan membidas Clare yang sekadar menceduk khabar angin yang dibekalkan oleh Ambiga semata-mata untuk membuat tuduhan liar kepada Pas.

“Ia satu perkara amat mendukacitakan seperti tak sepatutnya ambil dapatan dari sumber tak betul. Kalau aspek kewangan boleh trace dari transaksi wang ini masuk macam mana.

“Sarawak Report kalau sebelum ini boleh trace maklumat DOJ (Jabatan Keadilan Amerika Syarikat) RM2.6 bilion kemasukan dalam akaun tapi kenapa dalam isu ini hanya ambil hearsay (khabar angin) daripada Ambiga,” kata beliau semasa ditemui di Parlimen hari ini.

Idris mendesak Ambiga supaya membuat penjelasan berhubung dakwaan dibuat oleh Sarawak Report yang mendakwa  memperoleh maklumat itu daripada beliau.

Dan, sekiranya benar, beliau perlu meminta maaf kerana telah menyebabkan imej Pas tercalar dengan fitnah tersebut.

“Ambiga kena beritahu. Kalau betul dia kena minta maaf.

“Sebagai peguam dan pejuang integriti dan soal kebenaran dan pilihan raya umum bersih kenapa tiba-tiba jadi macam ini,” ujarnya.

Beliau juga menyifatkan Clare mempunyai niat jahat dalam mengeluarkan berita berhubung dana tersebut kerana mahu memburukkan imej Pas.

Itu hanya untuk persepsi jahatnya terhadap Pas dan lebih teruk lagi nak burukkan imej Islam konon Pas bawa imej Islam tapi buat lain,”‘ujarnya.

Clare dalam sebahagian daripada pembelaannya terhadap saman oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah menamakan Ambiga.

Clare mendakwa, beliau telah bercakap dengan Ambiga pada Julai 2016 berhubung perkara berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Pas.

Clare sebelum ini menuduh wang berjumlah melebihi RM200 juta dipindahkan kepada bekas timbalan presiden Pas, Datuk Nasharudin Mat Isa sejak 2014 dan wang itu dikatakan digunakan untuk membiayai sebuah kumpulan dalam Pas. – MalaysiaGazette

Comments are closed.