Home Utama Shafie persoal mengapa ambil masa lama siasat dana RM1.5b

Shafie persoal mengapa ambil masa lama siasat dana RM1.5b

Mohd. Shafie Apdal, Semporna, Parlimen, calon
Mohd Shafie Apdal

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal mempersoalkan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil masa yang lama untuk menyiasat kes penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 bilion.

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) itu berkata, kes tersebut sudah berlaku dua tahun yang lalu tetapi hanya sekarang SPRM mengambil tindakan terhadap beliau dan beberapa pemimpin Warisan lain.

“Saya tidak boleh cakap perkara yang masih di dalam siasatan walaupun mereka kata perkara ini berlaku dua tahun lepas, (tetapi) mengambil masa yang lama untuk disiasat,” kata beliau semasa ditemui wartawan di Parlimen hari ini.

Namun, Shafie enggan mengulas lanjut mengenai tindakan SPRM dan berharap siasatan dibuat dengan adil.

“Mereka hanya menjalankan tugas. Saya tidak ada bantahan apa-apa. Namun, ia mesti dilakukan secara adil, jangan buat andaian awal,” katanya.

Dalam pada itu, Shafie juga tidak menolak wujud unsur politik dalam siasatan kes tersebut memandangkan hampir semua pemimpin Warisan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan itu.

“Ya, ia ada berunsurkan politik,” katanya.

Shafie sebelum ini ditahan pada jam 5.15 petang 19 Oktober lalu di Kompleks Pentadbiran Persekutuan Sabah selepas dipanggil ke pejabat SPRM Sabah untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam bernilai RM1.5 bilion di bawah kementerian berkenaan.

Shafie yang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan, bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan RM100,000 pada pagi Jumaat lalu. – MalaysiaGazette